1MDB ditubuh untuk biaya Umno dan politik Najib, kata bekas CEO


Kamles Kumar

Bekas perdana menteri Najib Razak tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk perbicaraan rasuah membabitkan syarikat pelaburan 1MDB hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 14 September, 2020.

1MALAYSIA Development Berhad (1MDB) ditubuhkan untuk membiaya parti politik bekas perdana menteri Najib Razak, Umno, kata bekas ketua pegawai eksekutifnya, Mohd Hazem Abdul Rahman ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, ahli perniagaan dalam pelarian Low Taek Jho memaklumkan perkara itu kepadanya pada pertemuan pertama sebelum menyertai syarikat itu sebagai ketua pegawai operasi pada 2012.

“Jho Low memaklumkan kepada saya tujuan asal penubuhan 1MDB adalah untuk membantu Umno menerusi perniagaan melibatkan pelaburan strategik 1MDB.

“Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan bagaimana beliau akan gunakan 1MDB untuk membiaya Umno,” kata Hazem ketika membaca keterangan saksi hari ini.

Hazem merupakan saksi pendakwaan ke-10 dalam perbicaraan kes rasuah Najib yang berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa untuk memperkayakan dirinya dengan RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram dalam jumlah yang sama.

Tambah Hazem, Jho Low memberitahunya 1MDB dikawal sepenuhnya oleh Najib yang juga merupakan menteri kewangan dan berada dalam lembaga pengarah 1MDB.

“Jho Low juga memaklumkan kepada saya bahawa syarikat ini adalah dikawal sepenuhnya oleh Najib yang mana sebarang keputusan adalah di bawah kuasa penuhnya,” katanya.

Menurutnya, Jho Low menjelaskan kepadanya bahawa 1MDB merupakan salah satu cara yang diigunakan Najib untuk membiaya Umno ketika beliau menjadi presiden kerana MOF Inc adalah di bawah seliaannya.

“Jho Low sendiri mengingatkan saya bahawa Najib menubuhkan 1MDB untuk menguruskan dana Umno dan ini merupakan salah satu cara untuk mendapatkan derma politik menerusi syarikat yang diselia oleh PM sendiri,” kata Hazem.

Hazem yang kemudian dinaikkan pangkat kepada CEO 1MDB pada 2013, berkata beliau tidak pernah dibenarkan untuk mempersoalkan sebarang pelaburan 1MDB kerana ia dipersetujui Najib untuk menyalurkan wang kepada Umno.

“Saya perlu bersetuju kerana Jho Low memaklumkan saya semua dana disalurkan menerusi syarikat pelaburan 1MDB di luar negara adalah untuk kepentingan Umno dan saya tidak boleh mempersoalkannya,” katanya.

Hazem hari ini membaca 107 daripada 284 butiran kenyataan saksi. Beliau akan meneruskan untuk membacanya esok di hadapan Hakim Colin Sequerah.

Peguam bela sebelum ini cuba menghalang beliau daripada membaca beberapa bahagian daripada keterangan saksi atas dasar ia mengandungi bukti yang tidak kukuh.

Ini bermakna saksi tidak mempunyai pengetahuan langsung berhubung perkara itu tetapi hanya bergantung kepada sesuatu yang diberitahu kepadanya.

Hakim berkata beliau akan benarkan saksi membaca keterangannya secara penuh setakat ini dan akan membuat keputusan mengenainya pada akhir kes pendakwaan.

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa untuk memperkayakan dirinya dengan RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram dalam jumlah yang sama. Beliau boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan. Perbicaraan bersambung esok. – 14 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen