KERAJAAN Israel semalam mengumumkan perintah berkurung seluruh negara selama tiga minggu dalam usaha mengekang penularan jangkitan Covid-19 antara terpantas berlaku di dunia di negara itu.
Perintah berkurung itu yang akan mula berkuatkuasa Jumaat ini menjadikan Israel negara maju pertama mengambil langkah drastik itu untuk mengekang gelombang kedua Covid-19.
Israel yang sebelum ini dipuji kerana berjaya mengekang penularan Covid-19 dengan perintah berkurung pada Mac lalu, tetapi kini berada di belakang Bahrain untuk kadar jangkitan virus terpantas per kapita penduduk, menurut pengiraan AFP.
Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengumumkan keputusan kerajaan dalam perutusan di TV berkata, Kabinet bersetuju kepada pelan perintah berkurung selama tiga minggu dengan pilihan ia boleh dilanjutkan.
Matlamat kita adalah menghentikan jangkitan, dan mengurangkan penularan yang sudah menghampiri 4,000 kes baharu setiap hari, tambahnya.
Perintah berkurung itu ditetapkan bermula 1100 GMT Jumaat, beberapa jam sebelum bermulanya Tahun Baharu Yahudi dan musim perayaan negara itu.
Pengumuman itu dibuat walaupun wujud desakan sebahagian kumpulan ultra Ortodox supaya kerajaan tidak mengenakan perintah berkurung ketika musim perayaan.
Di bawah garis panduan perintah berkurung itu yang masih dalam proses penggubalan, perhimpunan dihadkan kepada 10 orang sahaja dan perhimpunan luar kepada 20 orang, bermaksud majlis sembahyang akan terjejas teruk.
Restoran masih tidak menerima pelanggan makan di dalamnya dan pergerakan dihadkan kepada hanya 500 meter dari kediaman.
“Saya tahu langkah ini akan mengharapkan pengorbanan besar daripada kita semua,” kata Netanyahu.
“Ini bukanlah perayaan yang kita selalu raikan, kita pastinya tidak boleh menyambutnya dengan keluarga besar kita.”
Semalam, Menteri Perumahan Yaakov Litzman daripada parti ultra orthodox United Torah Judaism meletak jawatan kerana membantah masa perintah berkurung dilaksana, berkata ia serangan kepada Yahudi Israel.
Ia satu ketidakadilan dan mengabaikan ribuan warga, ultra orthodox, agama dan tradisional yang mahu meraikan perayaan bersama keluarga, kata Litzman.
Walaupun kejayaan awal mengekang penularan virus, protes memuncak apabila berlaku lonjakan kes dan cara kerajaan menangani wabak itu.
Ribuan penunjuk perasaan berarak semalam mendesak Netanyahu meletak jawatan kerana kes rasuah dihadapinya dan kegagalan menguruskan krisis Covid-19.
Mereka menyekat jalan ke lapangan terbang Ben Gurion, di mana Netanyahu dijadualkan terbang ke AS untuk hadir perjanjian hubungan dengan Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu.
Rakyat Israel juga marah dengan kerajaan kerana lonjakan kes yang didakwa mereka berpunca dengan tindakan tergesa-gesa membuka semula perniagaan dan bantuan kewangan tidak mencukupi memaksa rakyat kembali bekerja.
Ada juga yang berpandangan pembukaan semula sekolah dan peningkatan keupayaan pengujian menyebabkan kes positif banyak dilaporkan.
Israel dengan penduduk sembilan juta orang merekodkan 155,604 kes termasuk 1,119 kematian. – AFP, 14 September, 2020.
Komen