Jakarta akan ditutup bermula esok angkara Covid-19


Sekolah, kawasan tumpuan pelancong, kawasan rekreasi, taman-taman awam, kemudahan sukan awam, perkahwinan, seminar dan konferens akan ditutup atau ditangguh selama dua minggu. – Gambar EPA, 13 September, 2020.

GABENOR Jakarta Anies Baswedan mengesahkan ibu negara Indonesia akan kembali kepada Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) bermula Isnin ini selepas beberapa bulan negara itu berada dalam “transisi PSBB”.

Indonesia hari ini melaporkan lebih 3,000 kes positif harian yang berturut-turut sejak enam hari lalu. 

“Kita perlu melaksanakan kawalan lebih ketat supaya peningkatan kes (Covid-19) di Jakarta dapat dikawal,” kata Anies seperti dilaporkan The Jakarta Post.

Sekolah, kawasan tumpuan pelancong, kawasan rekreasi, taman-taman awam, kemudahan sukan awam, perkahwinan, seminar dan konferens akan ditutup atau ditangguh selama dua minggu.

11 sektor utama termasuk kesihatan, makanan, tenaga, komunikasi, kewangan, lojistik dan peruncitan akan dibenarkan buka dengan kadar 50%, sementara syarikat yang bukan utama wajib melaksanakan polisi bekerja dari rumah dan hanya 25% pekerja sahaja dibenarkan berada di pejabat.

Hari ini Indonesia melaporkan peningkatan kes sebanyak 3,636 dengan angka kematian 73 orang menurut laman web kementerian kesihatan negara itu.

Ini menjadikan jumlah kes jangkitan sebanyak 218,382 dan kematian seramai 8,723.

“Banyak kluster dikesan di pejabat-pejabat. Sebab itulah kami beri tumpuan kepada kawasan pejabat,” kata Anies.

Jika sahih adanya kes di mana-mana lokasi, tambah Anies, keseluruhan bangunan akan ditutup sekurangnya selama tiga hari.

Ujarnya lagi, pesakit Covid-19 dengan simptom sederhana atau tiada langsung, tidak lagi dibenarkan kuarantin di rumah tetapi harus dikuarantin di tempat yang disediakan kerajaan pada Isnin ini. – The Malaysian Insight, 13 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen