DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan terjejas dengan pembekuan terhadap projek pembangunan mewah baru, kata ahli Parlimen DAP selepas pertemuan dengan datuk bandar hari ini.
Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng memetik Datuk Bandar Mhd Amin Nordin Abdul Aziz sebagai berkata larangan itu akan dibincangkan dengan lebih lanjut bersama Kementerian Kewangan.
“Saya bertanya kepada datuk bandar apakah pembekuan itu akan dilaksanakan di KL, dan dia kata tidak.
“Beliau berkata DBKL tidak akan laksanakannya, malah akan membuat beberapa cadangan kepada Kementerian Kewangan dan membincangkan perkara itu.
“Bagaimanapun, beliau tidak menyebut apakah cadangan itu,” kata Lim pada sidang akhbar di DBKL hari ini.
Terdahulu, dilaporkan Menteri Kewangan II Johari Abdul Ghani berkata Kabinet memutuskan untuk membekukan kelulusan projek mewah mulai 1 November.
Ini akan menjejaskan hartanah berharga melebihi RM1 juta.
Pemutusan itu diambil ekoran laporan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai kemerosotan hartanah mewah Malaysia yang menunjukkan bahawa bilangan rumah mampu milik adalah kurang daripada permintaan pasaran.
Menurut BNM, sebanyak 130,690 unit tidak terjual, iaitu jumlah tertinggi dalam satu dekad.
Angka itu adalah bagu suku pertama tahun ini, dan kira-kira 83% daripada jumlah itu adalah unit berharga RM250,000.
Sebanyak 61% daripada jumlah unit tidak terjual merupakan hartanah bangunan tinggi, iaitu 89% berharga melebihi RM250,000.
Kuala Lumpur adalah yang ketiga terbanyak unit kediaman tidak terjual di Malaysia, iaitu 14%. Johor yang tertinggi dengan 27%, diikuti Selangor 21%.
Kata Lim, Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 telah dibatalkan, dan DBKL akan membuat pengumuman mengenai rancangan baru tidak lama lagi.
Katanya lagi, bajet DBKL untuk tahun depan telah diluluskan pada RM2.905 bilion.
“Mereka akan mengambil Pelan Struktur KL 2020 sedia ada dan memperhalusinya dengan Pelan Strategik DBKL 2020, dan akan memanggilnya Rancangan Bandar Kuala Lumpur 2040 atau 2050.”
Beliau juga menambah, datuk bandar mempertahankan keputusan DBKL untuk tidak menjual tanah milik DBKL melalui tender terbuka kerana ia “tidak masuk akal” memandangkan orang ramai akakn membuat tawaran hanya jika mereka pasti pembelian itu memberikan keuntungan.
“Datuk bandar berkata ada sebidang tanah di sebelah Jalan Pinang yang dijual melalui proses tender terbuka kepada pembida tertinggi.
“Selepas membeli pada harga yang tinggi, pemiliknya membiarkan tanah itu kerana kuasa beli di pasaran tidak bagus.
“Kata datuk bandar, jika tanah itu tidak dijual melalui tender terbuka, ia mungkin dijual pada harga yang berpatutan, yang akan membuatkan pembeli rumah dan semua orang gembira.” – 12 Disember, 2017.
Komen