Jangan guna alasan Covid-19 untuk halang pengundi, kata Teresa


Peningkatan Covid-19 yang tercetus di Sabah hanya tertumpu pada kluster berkaitan pusat tahanan PATI di Tawau dan Lahad Datu sahaja, bukan seluruh Sabah, kata Teresa Kok. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 September, 2020.

JANGAN guna alasan pandemik Covid-19 untuk menghalang pengundi dari mengundi kata Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.

Katanya, peningkatan kes pandemik itu hanya di Kluster Benteng Lahad Datu sahaja.

“Peningkatan Covid-19 yang tercetus di Sabah hanya tertumpu pada kluster berkaitan pusat tahanan PATI di Tawau dan Lahad Datu sahaja, bukan seluruh Sabah,” kata Kok dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneliti keperluan mengenakan kuarantin wajib terhadap mereka yang pulang ke Semenanjung dari Sabah selepas urusan pilihan raya negeri (PRN).

Katanya kerajaan sedang meneliti untuk mengenakan kuarantin 14 hari.

“Walaupun kenyataan ini disangkal oleh Menteri Pertahanan Ismail Sabru, namun timbul persoalan adakah kerajaan PN mahu menggunakan pandemik Covid-19 sebagai alasan untuk menghalang pengundi Sabah dari mengundi,” kata Kok.

Tambahnya lagi, saranan Dr Adham Baba untuk mengenakan kuarantin 14 hari kepada semua pengundi yang pulang ke Sabah sangat tidak munasabah.

“Cadangan ini bukan sahaja memberi kesan kepada pengundi Sabah di Semenanjung, ia juga memberi kesan ekonomi buat pegawai kerajaan yang menguruskan pentadbiran antara kerajaan di Sabah dan Semenenjung,” kata Kok.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) elah menetapkan tarikh 26 September sebagai hari mengundi untuk pilihan raya negeri Sabah, dengan pengundian awal pada 22 September. Semalam adalah hari penamaan calon. – The Malaysian Insight, 13 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen