Saya pulangkan darjah kebesaran Selangor dengan sukarela, kata Siti Hasmah


Amin Iskandar

DR Siti Hasmah Mohamad Ali mengatakan tindakannya memulangkan darjah kebesaran Selangor bukanlah kerana dipaksa suaminya Dr Mahathir Mohamad tetapi dilakukan dengan sukarela.

Katanya, sebagai anak Selangor yang menerima darjah kebesaran tertinggi daripada negeri itu, tindakannya itu dilakukan kerana mahu mengikut jejak langkah suaminya.

“Saya fikir kalau suami saya terasa begitu, saya sebagai isteri patut bersimpati kepadanya dan menyokong hasratnya,” kata Dr Siti Hasmah dalam satu video yang disiarkan dalam akaun Facebook Dr Mahathir Mohamad pagi ini.

“Tidak, dia tidak paksa saya, saya dengan sukarela juga memulangi kurniaan tuanku, Almarhum actually that time, kepada Istana”.

Dr Siti Hasmah merujuk kepada ayahanda kepada Sultan Selangor, Almarhum Sultan Abdul Aziz Shah yang mengurniakan darjah kebesaran kepadanya.

“Saya pun anak Selangor dan dapat darjah yang tinggi daripada Selangor, tapi oleh sebab apa yang berlaku baru-baru ini, saya rasa saya perlu bantu hasrat suami saya itu dengan memulangi Darjah-darjah yang dikurniakan Tuanku Sultan Selangor,” katanya.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini memperkenankan menerima kembali darjah kebesaran yang dipulangkan Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Dewan Diraja Selangor, baginda mengesahkan Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah sudah memulangkan dan menyerahkan kembali darjah kebesaran yang diterima daripada Istana Selangor. 

Semalam The Malaysian Insight melaporkan Dr Mahathir memulangkan dua darjah kebesaran tertinggi yang diterimanya dari Istana Selangor. 

Kedua-dua darjah kebesaran itu dipulangkan pada petang Khamis dan diserahkan kepada seorang pegawai kanan di pejabat Sultan Selangor.

Isterinya, Dr Siti Hasmah turut mengambil tindakan sama pada hari sama.

Dr Mahathir menerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS), Darjah Kelas Pertama pada 22 Jun, 1978, yang ketika itu membawa gelaran Datuk.

Darjah kebesaran itu dikurniakan hanya kepada dua orang pada satu-satu masa dan kuota maksimum penerimanya ialah 40 orang.

Sejak 1998, darjah kebesaran itu membawa gelaran Datuk Seri.

Kira-kira sebulan sebelum persaraannya pada Oktober 2003, Dr Mahathir dianugerahkan Darjah Yang Amat Dihormati Kelas Pertama (DK) pada majlis Jasamu Dikenang di Istana Alam Shah, Klang.

Sementara Dr Siti Hasmah pula memulangkan kembali darjah kebesaran Selangor SPMS dan Darjah Paduka Mahkota Selangor (DPMS).

Dr Siti Hasmah menerima darjah kebesaran DPMS daripada Istana Selangor pada 1983 dan SPMS pada 1994. – 12  Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen