HARI ini genap 180 hari sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) diperkenalkan sejak 18 Mac, langkah yang tidak pernah dibuat sebelum ini di Malaysia bagi membendung pandemik virus korona baharu yang menjangkiti lebih 28 juta orang dan mengorbankan lebih 900,000 nyawa di seluruh dunia.
Di Malaysia, setakat semalam 9,868 kes dikesan dengan 551 kes masih aktif. Angka korban pula kekal 128 sejak hampir dua minggu lalu.
Sekatan di bawah PKP yang ketat berjalan dilanjut sebanyak tiga kali sehingga 12 Mei lalu. Sekatan itu menyebabkan sekolah dan pejabat ditutup sementara perkhidmatan tidak perlu dan sebarang bentuk perhimpunan dilarang, manakala hanya seorang ahli keluarga dibenarkan keluar rumah untuk mendapatkan barang keperluan.

Ia kemudian dilonggarkan secara berperingkat-peringkat secara bersyarat (PKPB) dan seterusnya dilonggarkan lagi sebagai peringkat pemulihan (PKPP), yang kini dilanjutkan sehingga 31 Disember.
Hampir semua sektor ekonomi dibenarkan dibuka kecuali misalnya pusat hiburan dan kelab malam. Orang ramai juga dibenarkan berhimpun semula dan makan di luar, tetapi dengan syarat ketat termasuk menjaga jarak dan memakai pelitup muka.
Semasa PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac, Malaysia mempunyai 790 kes. Dalam tempoh itu sebelum PKPB dilaksanakan pada Mei, jumlah jangkitan baharu paling tinggi dalam sehari ialah 217 kes, yang dikesan pada 3 April. Ketika itu kes keseluruhan ialah sebanyak 3,333.
Sepanjang tempoh PKPB, kes baharu harian kebanyakan dua angka. Hanya 2 kes baharu dicatatkan pada 10 Jun, ketika PKPB bermula. Pada hari itu, kes yang dikesan di seluruh negara mencecah 8,338.

Jumlah kes baharu menurun kepada satu angka pada awal Julai, tetapi melonjak turun naik antara satu angka ke dua angka hampir sepanjang bulan membawa sehingga Ogos dan September.
Kebanyakan kes itu datang dari luar negara, yang dikesan melalui perintah kuarantin wajib 14 hari sebaik tiba di Malaysia, ketika sempadan negara terus ditutup.
Bagaimanapun kes baharu meningkat sebanyak 62 pada 8 September, diikuti 100 kes baharu keesokannya.
Jumlah kes tertinggi semasa tempoh PKPP setakat ini ialah 182 kes yang dicatatkan pada 11 September.
Pada masa sama, jangkitan tempatan juga mula mengatasi kes yang dibawa masuk dari luar negara.
Kluster aktif
Pada bulan lepas, sesetengah jangkitan tempatan ini mencetuskan kluster baharu jangkitan Covid-19 terutamanya di Kedah dan Sabah.
Menurut Kementerian Kesihatan, ada 106 kluster Covid-19 di seluruh negara. Kebanyakannya diisytiharkan tidak lagi aktif (selepas 28 hari tanpa jangkitan baharu). Pada masa ini, hanya 11 kluster yang masih aktif.
Kluster ini dan jumlah jangkitannya setakat semalam adalah seperti berikut:
1. Benteng, di Lahad Datu, Sabah (381)
2. Tawar, Kedah dan Penang (79)
3. Sungai, Kedah dan Perlis (56)
4. Telaga, Kedah (16)
5. Sala, Kedah (11)
6. Alam, di Bintulu, Sarawak (8)
7. Bunga, Selangor dan Negeri Sembilan (6)
8. Depoh Imigresen Semenyih (3)
9. MV Glen, sebuah kapal Klang, Selangor (3)
10. Maju, Kuala Lumpur (3)
11. Laut, di Kunak, Sabah (4)
Setiap hari sekarang ada kes jangkitan baharu dari kluster Benteng Lahad Datu, dan jangkitan itu kini masuk ke generasi ketiga. Ada dua kes indeks dalam kluster ini, kedua-duanya pendatang tanpa dokumen yang ditahan di ibu pejabat balai polis daerah Lahad Datu.
Semua kes itu tidak menunjukkan gejala. Mereka disahkan positif selepas beberapa hari ditahan dan pada masa itu sudah menjangkiti pegawai pusat tahanan dan tahanan lain.
Kluster terbaharu iaitu kluster Laut yang diumumkan semalam datang daripada seorang pendatang Filipina yang dihantar balik tetapi menyelinap semula masuk ke Malaysia untuk menziarahi isterinya, yang juga sekarang disahkan dijangkiti.

Dalam beberapa kluster baharu, seperti Tawar dan Sala di Kedah, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes dipercayai berpunca akibat tiadanya penjarakan fizikal.
Indeks kluster Sala ialah seorang yang melawat pesakit di sebuah hospital. Keluarga yang bersamanya juga dijangkiti.
Kluster Tawar pula, yang puncanya tidak diketahui, melibatkan seorang individu yang hadir ke pengkebumian.
Dr Noor Hisham juga melahirkan kebimbangan barisan depan petugas kesihatan mula sambil lewa, seperti yang berlaku dalam kluster Sungai yang melibatkan petugas kesihatan. – 13 September, 2020.
Komen