Persatuan bank lancar kempen bantu peminjam


Ragananthini Vethasalam

Moratorium pinjaman bank akan berakhir pada September.– Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Julai, 2020.

PHAK bank bekerjasama dengan pengawal selia untuk mengadakan Kempen Bantuan Pembayaran Balik (RAC) bagi peminjam yang menghadapi kesulitan, kerana tarikh akhir tempoh penangguhan pinjaman akan berakhir pada akhir bulan ini.

Pengarah Eksekutif Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) Kalpana berkata kempen itu akan diadakan di bandar-bandar utama di Semenanjung dan Sabah serta Sarawak.

“Melalui saluran ini, peminjam boleh berunding secara bersemuka dengan pihak bank untuk menyuarakan masalah kewangan yang dihadapi melibatkan pinjaman dan bantuan pembayaran semula.

“Kempen ini akan meliputi bandar-bandar seperti Johor, Pulau Pinang, Kuantan dan Sarikei,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kempen di Kuala Lumpur telah diadakan pada 5 dan 6 September lalu.

RAC juga diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor dan Hotel Raja Bayan Lepas di Pulau Pinang pada semalam dan hari ini.

Kempen yang sama akan diadakan pada 13 dan 14 September di Dewan Utama Majlis Perbandaran Kuantan di Pahang, dan Dewan Kampung Jerijeh Belawai di Sibu, Sarawak pada 15 September.

Bank Negara Malaysia dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan institusi kewangan secara bersama menganjurkan RAC.

Kalpana menggalakkan peminjam yang memerlukan bantuan untuk menguruskan pinjaman mereka dengan bertemu institusi kewangan masing-masing secepat mungkin.

“Ahli persatuan ini bersimpati dengan pelanggan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dan mereka bekerjasama rapat dengan pengawal selia bagi memastikan bantuan diberikan secara berterusan kepada peminjam.”

Katanya peminjam tidak perlu menunggu moratorium berakhir dan perlu membincangkan pilihan bantuan bayaran semula secepat mungkin.

Antara bantuan diberikan mungkin melibatkan pembayaran kadar faedah sahaja bagi produk tertentu bagi tempoh tertentu, lanjutan tempoh hutang bagi mengurangkan kadar bayaran bulanan dan pindaan syarat dan terma pinjaman.

Siapa perlukan bantuan perlu hubungi bank

Bentuk bantuan bersasar ini diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 29 Julai.

Moratorium akan berakhir pada 30 September sejak bermula pada April sebagai usaha mengurangkan beban kewangan bagi rakyat dan perniagaan kecil dan sederhana (IKS) ekoran pandemik Covid-19.

Bantuan ini terpakai kepada individu yang hilang kerja pada 2020 dan masih mendapat pekerjaan.

Mereka boleh melanjutkan tempoh moratorium selama tiga bulan lagi.

Individu yang bekerja tetapi pendapatan terjejas akibat Covid-19, boleh memohon mengurangkan bayaran bulan sekurang-kurangnya selama enam bulan bergantung kepada jenis pinjaman.

Peminjam individu yang tertakluk kepada dua kategori tersebut dan sesiapa yang mahu mendapatkan bantuan perlu menghubungi pihak bank masing-masing.

Bagaimanapun, Kalpana menggesa peminjam yang tidak terletak bawah kategor itu, tetapi memerlukan bantuan untuk menghubungi pihak bank bagi mendapatkan kadar bayaran semula yang sesuai. – 13 September, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen