PAS merupakan parti yang menjadi penentu kuasa atau kingmaker dan tidak menyertai kerajaan dengan cara tidak demokratik, kata presidennya Abdul Hadi Awang.
Katanya ramai tidak menyedari bahawa peranan itu sewaktu PAS mengatur pembentukan kerajaan Perikatan Nasional, katanya.
Katanya, dengan hasil perancangan PAS itu juga parti tersebut kini menjadi sebahagian kerajaan persekutuan, selain kembali menguasai Kedah dan mengekalkan Kelantan dan Terengganu.
“Siapa menduga perkembangan politik yang berlaku mutakhir ini. Saya hanya menembak sahaja ketika PRU14, insya-Allah PAS akan jadi kingmaker dalam percaturan politik tanah air,” katanya.
“(Parti) yang dianggap tak jadi penentu kerajaan memerintah dengan 18 kerusi Parlimen, dua negeri kita menang.
“Tiba-tiba Allah menyerlahkan kita jadi kingmaker dan melakukan perubahan politik tanah air,” katanya dalam ucapan di Muktamar Pemuda PAS di Kota Bharu.
Katanya, ia hasil daripada anggota parti yang setia dan tidak bersikap gopoh seperti gelarannya kepada kumpulan pemimpin yang kekal dengan Pakatan Harapan.
“Yang berlaku bukan Langkah Sheraton, langkah kita sebenarnya. Biar orang tak tahu, itu lebih baik. Orang nampak Langkah Sheraton sahaja.
“Tapi perancangan kita berjaya. PAS dapat tempat dalam kerajaan, tambah satu negeri Kedah, kita memimpin, dalam cara tak gopoh seperti orang lain.
“Alhamdulillah ahli PAS setia pada parti, mereka tak gelabah… Kerana mereka yang gelabah sudah tidak ada dalam parti kita. Kita selamat,” kata ahli Parlimen Marang itu.
Katanya, PAS tidak gelabah seperti yang didakwa berlaku ketika Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya.
“Kita ambil jalan tengah mewujudkan kumpulan ketiga Gagasan Sejahtera, dalam pergolakan itu, dua-dua pihak dalam keadaan letih, kita tak letih.
“Kita saksikan Pakatan Harapan yang berjaya tawan Putrajaya dalam keadaan yang pening berlaga terhantuk sama sendiri.
“Kita saksikan parti lain tak boleh ke Putrajaya dalam keadaan sangat gelabah. Di masa itu kita perkenalkan politik Islam, taawun siyasi,” katanya.
Tambahnya, tumpuan PAS kali ini untuk mengukuhkan kedudukan dalam PRU15 bagi mendapatkan mandat rakyat yang jelas.
Ini memandangkan PAS bersama parti yang membentuk kerajaan pada Febriarui lalu tidak mendapat undi majoriti sewaktu PRU14.
Sebaliknya ia berlaku apabila Bersatu keluar dari Pakatan Harapan dan membentuk gabungan baharu dengan kumpulan ahli Parlimen PKR, Umno serta BN, PAS dan GPS.
Kerajaan baharu itu diumumkan sebagai kerajaan Perikatan Nasional yang menurut Hadi bukan kerajaan yang dibentuk secara tidak demokratik.
“Akhirnya kita berjaya wujudkan PN. Menawan Putrajaya dalam keadaan tenang, satu pertukaran kuasa secara demokratik bukan pintu belakang bukan tebuk atap.
“Melalui ahli Parlimen yang dipilih rakyat, melalui Raja, Yang di-Pertuan Agong, bukan tebuk atap, ini ikut Perlembagan.
“Kita berjaya ambil alih Putrajaya dengan langkah diambil walaupun kita berbeza pendapat dalam pendekatan menyebabkan sedikit keretakan,” kata Abdul Hadi lagi. – 12 September, 2020.
PAS bukan tebuk atap tapi kingmaker, kata Hadi
Komen