BERDIRI di sebelah puing bangunan di Tebing Barat, wilayah yang dicerobohi Israel, Ibrahim al-Barghouti, seorang guru memberikan arahan kepada rakan-rakannya ketika mereka membaik pulih kemudahan sekolah yang ditutup ekoran pandemik Covid-19.
Pengetua Sekolah Hassan Allan di desa Deir Abou Mishaal, barat laut Ramallah itu sudah lama memikirkan untuk kerja-kerja mengubah suai sekolah mereka dan menambah tiga bilik darjah.
Berharap untuk mengambil peluang terbaik dari situasi buruk ketika ini, dia memutuskan untuk memanfaatkan penutupan sekolah yang diwartakan Pihak Berkuasa Palestin dua bulan lalu sebagai sebabagian dari usaha membendung penyebaran virus tersebut.
Barghouti mencadangkan dan bertanya kepada 24 guru dan kakitangan sekolah adakah mereka sanggup menukar pensil dan pemadam dengan alatan membaik pulih sekolah, katanya kepada AFP, sambil tersenyum mereka semua bersetuju untuk membantu.
“Kami membina dan mengubahsuai sekolah dengan tangan kami sendiri dan terima kasih atas sumbangan penduduk kampung,” semuanya adalah kerja sukarela, katanya.
Beliau turut berkata bahawa beberapa kakitangan juga berpengalaman dalam pembinaan dan menggunakan kemahiran mereka dengan menunjukkan kepada sukarelawan lain bagaimana cara memasang blok bata, meletakkan jubin atau menuang simen konkrit, sambil memakai topeng muka untuk melindungi diri daripada jangkitan virus.
Hanya 285,000 pelajar kembali ke kelas minggu ini di Tebing Barat, dari 1.3 juta pelajar di wilayah itu namun 300 pelajar Sekolah Tinggi Hassan Allan mesti menunggu sekolah mereka siap diperbaharui.
Pentadbiran sekolah telah membuat beberapa permintaan hibah daripada Kementerian Pendidikan untuk pengubahsuaian sekolah, namun ditolak “kerana kekurangan sumber,” kata Mohammad Othman, seorang guru biologi yang sibuk meletakkan jubin.
Pihak Berkuasa Palestin menghadapi krisis ekonomi yang teruk, terutama sejak keputusannya pada akhir Mei untuk memutuskan semua kerjasama dengan Israel sebagai tindak balas terhadap rancangan untuk menceroboh sebahagian wilayah Tebing Barat.
Keputusan oleh kerajaan Palestin untuk tidak lagi menerima wang itu merupakan tamparan bagi bajetnya sehingga tidak mampu membayar gaji penjawat awam.
Akibatnya, guru di sekolah menengah Deir Abou Mishaal hanya dibayar separuh gaji mereka sejak Mei.
“Sokongan moral penduduk kampung cukup baik,” kata Youssouf Salman, setiausaha sekolah.
Teman sekerjanya, Dhamir Hamdan bersetuju. “Tak banyak orang yang boleh berkata kepada diri mereka, ‘mengapa bekerja tanpa gaji?’” Katanya.
“Tetapi di sini kami bekerja sebagai sukarelawan untuk kebaikan penduduk kampung dan generasi akan datang.” – 12 September, 2020.
Komen