PAS mahu ulama parti jadi penasihat syariah agensi kerajaan


Mohd Farhan Darwis

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata parti mempunyai ahli berkelayakan untuk mengisi kedudukan penasihat syariah di setiap agensi kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 September, 2020.

ULAMA PAS Muhammad Zawawi Salleh menggesa kerajaan melantik anggota sayap itu menjadi penasihat syariah dalam semua agensi kerajaan.

Langkah itu bagi menterjemahkan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara dan sayap ulama PAS juga bersedia membantu kerajaan bagi merealisasikannya, katanya yang juga ketua sayap itu.

“Dewan Ulama PAS Pusat juga ingin mengusulkan, agar pentadbiran negara di setiap peringkat dan agensinya dipandu oleh penasihat syariah yang berwibawa dan berkredibiliti tinggi,” katanya.

Zawawi berkata tiada masalah untuk agensi kerajaan melaksanakannya kerana institusi kewangan juga mempunyai lembaga penasihat syariah sendiri.

“Andai hampir setiap bank mempunyai lembaga penasihat syariah dan pegawai syariah bagi memastikan segala urusan dikendali dan dilaksana menepati piawaian Islam, terutama dalam hal halal dan thoib, kami melihat tidak keterlaluan malah sudah sampai masanya setiap agensi kerajaan juga sekurang-kurangnya mesti mempunyai seorang pegawai.

“Hal ini diyakini akan mengangkat penghormatan dan kewibawaan kerajaan sendiri yang pasti lebih diyakini dalam menterjemahkan kedudukan Islam sebagai agama negara,” katanya.

Tambahnya, sayap ulama parti Islam itu juga mempunyai ahli berkelayakan dan mampu untuk mengisi kedudukan penasihat syariah tersebut.

“Jika ini mampu diusahakan Dewan Ulama PAS Pusat, kerajaan ulama akan pasti memberi dukungan padu dan kami bersedia menawarkan ahli yang berilmu dan berwibawa bagi mengambil peranan dan mengisi keperluan berkaitan,” katanya. 

Beliau menyatakan demikian dalam ucapan ucapan di muktamar sayap itu di Kelantan hari ini.

PAS menyertai parti kerajaan selepas parti itu bergabung dengan Bersatu, Barisan Nasional dan parti Sarawak untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional.  – 12 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen