Dr Mahathir sifatkan Muhyiddin PM yang sangat lemah


Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri yang sangat lemah kerana bergantung kepada Umno dan PAS untuk mendapatkan sokongan bagi mengekalkan kerajaannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2020.

DR Mahathir Mohamad menyifatkan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri yang sangat lemah kerana bergantung kepada Umno dan PAS untuk mendapatkan sokongan bagi mengekalkan kerajaannya.

Pemimpin berusia 95 tahun itu dalam temubual bersama Malaysiakini juga berkata Muhyiddin tidak berani memilih timbalannya kerana bimbang akan mencetuskan kemarahan sekutu dalam gabungan Perikatan Nasional.

“Dia sangat lemah, dia bergantung pada Umno dan PAS. Kalau dia ambil tindakan terhadap Umno dan PAS, mereka akan keluar dan mereka (kerajaan) akan tumbang.

“Dia tak berani pun pilih timbalan perdana menterinya,” katanya kepada Malaysiakini. 

Muhyiddin menarik keluar Bersatu dari Pakatan Harapan pada hari sama Dr Mahathir mengumumkan peletakan jawatannya sebagai perdana menteri.

Ini menyebabkan kejatuhan kerajaan PH yang membolehkan Muhyiddin menjadi perdana menteri dengan sokongan Umno, PAS dan Gabungan Parti Sarawak.

Dalam wawancara itu Dr Mahathir berkata Muhyiddin bahkan tidak menegur menterinya sendiri seperti menteri PAS Khairuddin Aman Ramli yang melanggar perintah kuarantin wajib Covid-19 dan timbalan menteri Umno Zahidi Zainul Abidin berkenaan isu pelajar di Sabah.

Namun katanya beliau mengakui parti komponen lain juga bergantung kepada Muhyiddin kerana mereka tidak akan berkuasa tanpa perdana menteri itu dan Bersatu. 

“Tetapi dia orang (Umno dan PAS) pula ada masalah, kalau dia bagi Muhyiddin tumbang dia pun tumbang juga,” katanya.

Malah katanya Muhyiddin juga membuka keahlian Bersatu kepada bukan Melayu untuk menyokongnya.

“Sekarang perjuangan yang dipegang oleh Muhyiddin sebelum ini sudah tiada lagi.

 “Jadi apa saja apa yang dia lakukan adalah tentang untuk mengekalkan kedudukannya sebagai perdana menteri, bukan tentang perjuangan,” katanya.

Dr Mahathir merupakan salah seorang pengasas Bersatu yang dibentuk sebelum pilihan raya umum ke-14 untuk mengambil alih Umno yang dipimpin oleh Najib Razak.

Namun keahliannya dalam parti itu dilucut kerana menyokong PH, dan sejak itu beliau membentuk parti Melayu baru iaitu Pejuang.– 14 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen