Polis perketat sekatan jalan raya di sempadan Kota Setar


POLIS memperketatkan sekatan jalan raya (SJR) di setiap jalan menghubungkan daerah Kota Setar dengan daerah lain, termasuk mewujudkan pasukan pemantau untuk mengawal laluan ‘tikus’ dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar Supt Mohd Redzuan Salleh berkata polis mengadakan tujuh SJR yang melibatkan kawasan di hadapan Restoran Haji Ramli Simpang Empat; Jalan Batas Paip, Kuala Kedah; hadapan Balai Polis Alor Janggus; hadapan Balai Polis Kepala Batas; Jalan Hutan Kampung; Tol Alor Setar Utara dan Tol Alor Setar Selatan.

“Sebanyak 21 pasukan pemantau akan bergerak mengikut jadual bagi memantau dan mengawal supaya tiada individu yang melanggar arahan sepanjang PKPD dilaksanakan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata PKPD secara pentadbiran di 28 mukim di Kota Setar dikuatkuasakan bermula hari ini sehingga 25 September depan yang membabitkan 366,787 penduduk, selepas mengambil kira peningkatan kes positif Covid-19 kluster Sungai dan Tawar di daerah berkenaan.

Menurut Redzuan, bagi individu yang tinggal di daerah Kota Setar dan bekerja di luar kawasan PKPD, mereka perlu mendapatkan surat kebenaran daripada pihak polis sebelum boleh membuat pergerakan keluar dan masuk.

“Kita terima banyak pemohonan untuk keluar dan masuk atas tujuan bekerja, walaupun mereka bekerja dalam perkhidmatan perlu, tetap kena dapatkan kebenaran polis contohnya macam lori ikan, kalau nak masuk Kota Setar untuk ambil bekalan ikan pun kena ada kebenaran,” katanya.

Beliau turut berharap para majikan dapat membenarkan pekerja untuk bekerja dari rumah serta menasihatkan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan atau berdepan tindakan penguatkuasaan jika gagal berbuat demikian.

Dalam pada itu, Redzuan berkata keperluan logistik termasuk jumlah anggota keselamatan untuk menguatkuasakan PKPD secara pentadbiran di daerah Kota Setar adalah mencukupi walaupun ia melibatkan kawasan yang luas. – Bernama, 11 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen