Pejuang tak boleh terbang sendiri, perlu ada kawan politik, kata Mukhriz


Alfian Z.M. Tahir

Mukhriz Mahathir berkata Pejuang tak boleh berjuang sendiri perlu cari sekutu politik yang percaya dan faham prinsip perjuangan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 11 September, 2020.

PEJUANG yang baharu sahaja dibentuk perlu mengadakan kerjasama politik yang kukuh dengan parti lain bagi kelangsungannya, kata Mukhriz Mahathir.

Mukhriz, salah seorang pengasas dan kini presiden Pejuang berkata parti Melayu itu masih mempunyai hubungan baik dengan Warisan, Amanah dan DAP tetapi mereka perlu memperbaiki hubungan dengan PKR.

Bekas menteri besar Kedah itu bagaimanapun menambah yang ia bukan masalah kerana beliau mempunyai hubungan baik dengan PKR, walaupun hubungan ayahnya yang juga Pengerusi Pejuang Dr Mahathir dan Presiden PKR Anwar Ibrahim tidak berapa baik.

Katanya lagi, pemahaman politik dengan parti pembangkang lain adalah mustahak untuk Pejuang yang masih menunggu kelulusan Pendaftar Pertubuhan (RoS) itu.

“Kita dah lalu pengalaman bertanding sewaktu dengan Pakatan Harapan sebagai parti komponen dan terbukti formula itu berjaya dan meyakinkan rakyat.

“Jadi, macamana pun kita perlu kerjasama baik gabungan mahupun politik yang pertamanya supaya tidak ada pertembungan kerusi.

“Kalau pecah sampai tiga empat sudut satu kawasan undi akan pecah, maka rugilah kita. 

“Kalau boleh ada kerjasama politik kita akan dapat manfaatnya,” katanya dalam wawancara Insight Talk yang disiarkan secara langsung di Facebook The Malaysian Insight, semalam. 

Tambahnya, Pejuang mungkin ada peluang menang PRK Slim pada 29 Ogos lalu jika ia bekerjasama dengan parti Pakatan Harapan.

“Mana-mana parti yang mahu bertanding mana-mana kerusi perlu ada kerjasama politik. Apabila ada undi kolektif, kita boleh menang mengatasi lawan kita,” katanya.

PRK Slim dimenangi calon Barisan Nasional daripada Umno dengan majoriti 10,945.

Mohd Zaidi Aziz meraih 13,060 undi berbanding 2,115 undi diraih calon Bebas Amir Khusyairi Mohamad Tanusi. Amir bertanding atas tiket Bebas kerana Pejuang belum didaftarkan.

Seorang lagi calon Bebas, S Santharasekaran hanya meraih 276 undi. 

Saya akan ambil pendekatan berbeza untuk baiki hubungan dengan PKR, kata Mukhriz Mahathir. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 11 September, 2020.

“Saya rasa kami mungkin boleh menang di Slim jika kita ada kerjasama (dengan parti PH).

“Walaupun kami kalah, perlu diingatkan yang kita lawan kerajaan negeri pemerintah Perikatan Nasional serta kerajaan Persekutuan.

“BN malah tawar hak tanah untuk pengundi hanya untuk lawan parti kecil macam kami,” kata Mukhriz lagi. 

Tambahnya lagi, situasi Pejuang sekarang sama seperti Bersatu pada pilihan raya lepas ketika ia masih bersama PH.

“Pada pilihan raya lepas, kami dapat 12 hingga 15% undi Melayu yang kita sumbang untuk gabungan Pakatan Harapan.

“Kali ini tanpa sebarang kerjasama dan sebagai parti bebas, kami mengekalkan peratusan yang sama, bermakna deposit tetap (undi) kami masih ada.”

Baiki hubungan dengan Anwar

Dr Mahathir mengumumkan pembentukan Pejuang pada 7 Ogos lalu, berkata ia akan memperjuangkan hak orang Melayu yang semakin dilupakan parti Melayu lain.

Barisan pengasas Pejuang adalah ahli Bersatu yang terlucut keahlian kerana menyokong PH dan enggan mengiktiraf tindakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin membentuk kerajaan dengan Umno dan PAS.

Walaupun bekas sekutunya dalam PH- DAP, Warisan dan Amanah- terbuka untuk bekerjasama dengan Pejuang, PKR masih lagi menjauhkan diri daripada parti baharu itu.

Ini disebabkan keputusan Dr Mahathir untuk menyokong Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri PH dan bukannya Anwar.

Hubungan Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim memang bermasalah, akui Mukhriz Mahathir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2020.

Kemelut antara parti pembangkang kini melarat apabila PKR dan Warisan terheret ke dalam kemelut pembahagian kerusi untuk Pilihan Raya Negeri Sabah yang bermula Sabtu ini.

Ditanya bagaimana caranya Pejuang mahu memperbaiki hubungan dengan Anwar, Mukhriz berkata beliau akan mengambil pendekatan berbeza untuk bekerja dengan presiden PKR itu.

Politikus berusia 55 tahun itu berkata kepercayaan diperlukan untuk kerjasama parti, mengakui wujud masalah antara Dr Mahathir dan Anwar.

“Apapun kisahnya, perlu ada kepercayaan dan pemahaman asas. Kita perlu bertemu muka bila membincangkan isu dan kita perlu ikhlas. Kita tak boleh kata macam ini hari ini, lepas tu kata benda lain esoknya.

“Pada masa depan saya harap kami boleh capai kata sepakat. Ada masalah antara mereka berdua (Dr Mahathir dan Anwar), itu saya perlu akui. Bagaimanapun, saya ada hubungan baik dengan PKR terutama di Kedah.

“Kita perlu ingat yang kita kena berdepan dengan musuh sebenar. Kita perlu ada percaya dan kita perlu cari titik persamaan,” kata Mukhriz.

Pejuang kata pengasasnya ditubuhkan untuk memperjuang hak orang Melayu yang semakin dilupakan parti Melayu lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2020.

Beliau juga berharap Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin tidak menghalang pendaftaran Pejuang sebagai parti politik.

“Hamzah, kalau tidak ada masalah, perlu benarkan Pejuang didaftarkan.”

Mukhriz dan Hamzah pernah bersama-sama dalam Bersatu-parti yang diasaskan Dr Mahathir pada 2016.

Setakat ini, Pejuang masih tidak bekerjasama dengan mana-mana gabungan politik sedia ada.

Semalam, Dr Mahathir berkata Pejuang hanya akan bekerjasama dengan parti yang mempunyai prinsip perjuangan yang senada dengannya. – 11 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen