Kedai serbaneka, restoran dibenarkan buka sehingga 2 pagi


Aminah Farid

Premis perniagaan termasuk kedai makan kini dibenar buka sehingga 2 pagi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 September, 2020.

PREMIS perniagaan termasuk restoran dan kedai serbaneka akan dibenarkan beroperasi sehingga 2 pagi, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, keputusan itu dibuat Majlis Keselamatan Negara semalam selepas menerima banyak aduan pemilik premis yang pendapatan mereka terjejas kerana waktu operasi terhad.

“Ramai yang mengadu, terutama sekali di kawasan pelancongan seperti Langkawi. Mereka terpaksa tutup tengah malam dan sebab tiada persembahan hiburan, mereka hanya boleh makan.

“Operator ini tanya kami jika mereka boleh lanjutkan waktu operasi dan kami setuju. Bagaimanapun, ini bukan hanya untuk Langkawi sahaja tetapi kawasan lain juga,” katanya pada sidang media, hari ini.

Sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasa pada Mac, kedai makan hanya boleh menjual makanan secara bawa pulang sahaja dan pelanggan tidak dibenar makan di kedai.

Apabila, PKP pemulihan dikuatkuasa pada Jun, kedai makan dan serbaneka dibenarkan beroperasi sehingga 12 tengah malam. – 10 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen