DAERAH Kota Setar di Kedah diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan secara pentadbiran (PKPDP) selepas berlaku lonjakan kes Covid-19 di situ, kata Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.
PKPDP itu akan bermula jam 12 malam 11 September sehingga 25 September, katanya.
Ismail Sabri berkata keputusan itu dibuat selepas 16 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu, membawa kepada jumlah kes daerah itu sebanyak 30, setakat ini.
Sejumlah 366,787 orang di 28 mukim terkesan dengan penguatkuasaan PKPDP ini, katanya pada sidang media, hari ini.
Sementara itu, PKPDP untuk kawasan di Aman Jaya, Kedah seperti Kenanga, Mawar dan Melur dilanjutkan sehingga 13 September.
Ismail Sabri berkata ini bagi memastikan Kementerian Kesihatan dapat melakukan saringan ke atas semua penduduk.
Saringan Covid-19 di kawasan itu melibatkan 22,360 orang di 265 rumah di tiga zon saringan.
Ismail Sabri juga mengumumkan penguatkuasaan PKPDP di Penjara Tawau bermula 11 sehingga 25 September.
Bagaimanapun, ia hanya melibatkan banduan, kakitangan penjara dan ahli keluarga mereka yang tinggal di dalam kawasan penjara.
Saringan Covid-19 akan melibatkan banduan, 114 pegawai penjara dan 355 ahli keluarga polis.
Setakat ini, 41 kes dikaitkan dengan kluster Penjara Tawau dikesan. – 10 September, 2020.
Komen