Peluang jana pendapatan lebih membantu berbanding wang tunai, kata pakar


Ragananthini Vethasalam

Menurut kaji selidik, 52% ketua rumah lelaki dan 57% ketua rumah wanita tidak membuat sumbangan kepada KWSP dan Perkeso. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 September, 2020.

BANTUAN tunai amat membantu ketika krisis tetapi bantuan dalam bentuk peluang untuk menjana pendapatan akan lebih mapan dalam tempoh jangka panjang, kata pakar ekonomi Dr Muhammed Abdul Khalid.

Muhammed, yang juga penasihat ekonomi kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, berkata pada satu forum malam tadi bahawa bantuan tunai hanya optimum bila ia diberikan kepada golongan miskin tegar, warga emas dan orang kurang upaya.

Beliau bercakap pada forum bertajuk “Impak Covid-19 terhadap Keluarga Berpendapatan Rendah” di Kuala Lumpur malam tadi. Forum itu membincangkan hasil kaji selidik agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu UNFPA dan Unicef, yang melihat kepada 500 isi rumah di kawasan perumahan PPR.

Kaji selidik itu turut menganalisis impak krisis Covid-19 terhadap wanita dan kanak-kanak dalam keluarga berpendapatan rendah di kawasan bandar.

“Adakah wang tunai membantu? Ya, ia membantu ketika krisis berlaku,” kata Muhammad.

Beliau berkata ada yang terpaksa menggadai barangan berharga atau mengambil pinjaman daripada Along untuk mendapatkan wang cepat apabila mereka hilang pekerjaan.

“Bila kami tanya apa yang mereka mahu, mereka kata bukan wang tunai. Mereka mahu bantuan untuk mulakan perniagaan, mereka mahu cari kerja atau mereka mahu tempat untuk berniaga.

“Ia untuk menjana pendapatan supaya saya tidak perlu bergantung kepada anda. Ya bantuan tunai memang membantu, tetapi ia tidak bertahan untuk jangka panjang,” katanya.

Menurut kaji selidik itu, satu dalam empat ketua keluarga tidak bekerja ketika perintah kawalan pergerakan (PKP), yang dikuatkuasakan untuk membendung penularan Covid-19.

Lebih 826,000 rakyat Malaysia hilang pekerjaan ketika pandemik dengan kadar pengangguran 5.3% pada Mei.

Muhammad turut menekankan keperluan untuk jaringan perlindungan sosial seperti sumbangan Perkeso diwajibkan, termasuk bagi mereka yang bekerja sediri dan pekerja dalam ekonomi gig, seperti pemandu e-hailing.

“Polisi utama ialah untuk melindungi semua orang. Sumbangan Perkeso sepatutnya diwajibkan, bukan digalakkan supaya bila berlaku krisis, mereka masih ada perlindungan,” katanya.

Kira-kira 89% responden dalam kaji selidik itu adalah penerima bantuan tunai Bantuan Prihatin Nasional.

Bagaimanapun, kaji selidik itu turut mendapati ramai responden berkata mereka mahu bentuk bantuan lebih mapan seperti diberikan kerja tetap dan tidak perlu bergantung kepada bantuan tunai.

Ada juga permintaan supaya jumlah bantuan ditambah, dan bagi tempoh lebih panjang.

Ia juga mendapati kira-kira 52% ketua rumah lelaki dan  57% ketua rumah wanita tidak membuat sumbangan kepada KWSP dan Perkeso. – 10 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen