Kerana Covid-19, pengantin rakam gambar kahwin dalam negara


Angie Tan

Banyak tempat dalam negara menjadi lokasi untuk merakamkan gambar perkahwinan dengan tema diubah kepada tema tempatan. – Gambar Touch Wedding Studio, 15 September, 2020.

PASANGAN pengantin kini memilih destinasi dalam negara sebagai lokasi merakamkan gambar perkahwinan, susulan sekatan perjalanan ke luar negara akibat pandemik Covid-19.

Dan tindakan itu membolehkan studio gambar bertahan dalam keadaan ekonomi semasa.

Pengerusi Touch Wedding Studio di Jalan Pudu, Kuala Lumpur Kelvin Chin berkata ada pasangan yang baru tahu betapa indahnya Malaysia, kerana trend sebelum Covid-19 ialah pengantin sanggup berhabis duit untuk merakamkan gambar perkahwinan di luar negara.

Chin berkata 50% pelanggan pada awalnya merancang untuk mengadakan sesi fotografi di luar negara, tetapi kini melakukannya dalam negara.

“Mereka mengatur untuk ke Switzerland, Iceland, Perancis dan beberapa tempat lain, tetapi mereka tidak boleh ke sana sekarang. Jadi kami guna tempat menarik tempatan untuk tawan pelanggan buat sesi fotografi di situ,” katanya.

Lokasi di Laluan Persekutuan 3, iaitu sepanjang pantai di timur semenanjung, sangat popular dalam kalangan pasangan pengantin.

Sepanjang Laluan Persekutuan 1 iaitu di utara ke selatan di bahagian barat menjadi pilihan pasangan yang mahukan hasil gambar lebih “desa”, dengan merakamkan gambar di beberapa bandar kecil, kata Chin.

Antara lokasi terkenal ialah Taiping dan Kuala Sepetang di Perak, dan pantai sasaran di Selangor, yang popular dengan destinasi penggambaran “Sky Mirror” ketika paras air surut di laut.

“Kami tunjuk gambar lokasi ini kepada pelanggan dan respons mereka positif; malah ada yang terkejut kerana ada tempat seindah itu di negara kita.

“Mereka beritahu yang tidak pernah tahu Malaysia secantik itu, jadi mungkin perintah kawalan pergerakan (PKP) ini ada hikmahnya dan ia beri peluang kepada rakyat kita meneroka lebih banyak tentang negara ini,” katanya.

PKP bermula pada 18 Mac selama dua bulan sebelum sekatan ditarik balik secara perlahan-lahan. Negara pada masa ini sedang menguatkuasakan PKP pemulihan (PKPP) sehingga 31 Disember, di mana kebanyakan aktiviti dibenarkan dengan peraturan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan penyediaan cecair pembasmi kuman.

Bagaimanapun, pelancongan luar negara dan bukan atas sebab rasmi masih tidak dibenarkan, sementara kebanyakan negara di seluruh dunia juga masih bergelut dengan pandemik Covid-19.

Chin berkata studionya turut mengesyorkan tema dan pakaian tempatan kepada pengantin, contohnya tema “balik kampung”.

Dengan adaptasi dan produk baharu kepada pelanggan, Chin berkata studionya dapat mengekalkan kebanyakan pelanggannya.

Industri fotografi pengantin bagaimanapun, masih dalam proses pemulihan, dan ia berbeza di setiap negeri, kata Chin yang juga presiden Persatuan Pakar Perkahwinan.

“Johor dan Johor Bahru paling teruk terjejas kerana pelanggan utama mereka dari Singapura dan penduduk tempatan yang bekerja di Singapura.

“Dengan sekatan perjalanan antara Singapura dan Malaysia, kesannya sangat besar terhadap perniagaan.

“Di Pulau Pinang, banyak studio perkahwinan besar turut ditutup dan keadaan secara amnya tidak baik,” katanya. – 15 September, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen