UJIAN klinikal vaksin Covid-19 buatan China di Brazil menunjukkan hasil yang “sangat positif”, dan kempen vaksinasi secara besar-besaran mungkin dimulakan pada Disember, kata gabenor Sao Paulo pada Rabu.
Sao Paulo, pusat wabak koronavirus di Brazil yang dilanda teruk, adalah satu daripada enam negeri yang membantu ujian vaksin dikenali sebagai CoronaVac yang dikembangkan oleh firma farmasi China Sinovac Biotech.
Vaksin menghasilkan tindak balas imun pada 98% penerima berusia lebih 60 tahun, tanpa kesan sampingan dilaporkan setakat ini, kata Gabenor Joao Doria.
“Hasilnya sangat positif,” katanya pada sidang akhbar.
“Kami akan segera dapat mengimunisasi rakyat Brazil di Sao Paulo dan di seluruh negara dengan vaksin CoronaVac .... Tarikh penghantaran dijangkakan adalah pada Disember tahun ini.”
Sinovac bekerjasama dengan pusat penyelidikan kesihatan awam Brazil, Institut Butantan, untuk melakukan ujian klinikal Tahap 3 - langkah terakhir sebelum kelulusan peraturan.
Perjanjian itu memberi hak kepada institusi menghasilkan 120 juta dos vaksin, menurut pegawai.
Bagaimanapun, CoronaVac terjebak dalam pertempuran politik di Brazil.
Presiden Jair Bolsonaro, yang pemerintahannya mempunyai hubungan tegang dengan China, mengkritik vaksin itu, dan mengecam Doria.
Presiden sayap kanan itu sebaliknya memperuntukkan AS$360 juta untuk membeli vaksin lain, yang dibangunkan Universiti Oxford dan firma farmasi AstraZeneca.
Ujian percubaan vaksin itu, yang juga diuji sebahagiannya di Brazil, ditangguhkan pada Selasa selepas seorang penerima sukarela mengalami penyakit yang tidak dapat dijelaskan - tindakan yang digambarkan oleh syarikat itu sebagai “rutin.”
Brazil mempunyai angka kematian kedua tertinggi akibat wabak tersebut selepas Amerika Syarikat (AS), dengan lebih 127,000 maut dan 4.1 juta jangkitan.
Negara Amerika Selatan itu menjadi tempat ujian utama vaksin.
Dalam perkembangan terbaru, syarikat diagnostik perubatan Brazil, Dasa dan pembuat vaksin AS COVAXX mengumumkan perjanjian pada Rabu untuk menjalankan ujian Fasa 2 dan 3 di Brazil.
COVAXX, anak syarikat firma AS United Biomedical, merancang menguji vaksin itu kepada sekurang-kurangnya 3,000 sukarelawan di Brazil. – AFP, 10 September, 2020.
Komen