PM kontak rapat Covid-19, Kabinet Perancis bermesyuarat maya


Perdana Menteri Jean Castex (kiri) bersama-sama Pengarah Tour de France Christian Prudhomme (kanan) yang disahkan positif Covid-19, memaksa perdana menteri itu menjalani kuarantin kendiri. – Gambar AFP, 9 September, 2020.

KABINET Perancis akan mengadakan mesyuarat mingguan hari ini secara maya buat pertama kali sejak berakhirnya perintah berkurung wabak Covid-19, selepas Perdana Menteri Jean Castex menghabiskan hujung minggu dengan ketua penganjur Tour de France yang positif Covid-19.

Castex diuji negatif dalam saringan awal tetapi perlu menjalani kuarantin kendiri seperti garis panduan rasmi selama tujuh hari di kediaman rasminya Paris Matignon, kata pejabatnya.

Castex menaiki kereta bersama Pengarah Tour de France Christian Prudhomme apabila mengikuti peringkat kelapan jelajah basikal itu pada Ahad lalu.

Prudhomme yang tidak menunjukkan sebarang gejala kini perlu menjalani kuarantin.

Kesihatan Castex baik tetapi beliau perlu mematuhi protokol dengan mengadakan mesyuarat maya, kata pejabatnya.

Perdana menteri yang bertemu beberapa orang menteri lain sejak beberapa hari lepas akan menjalani saringan kedua tujuh hari selepas berhubungan dengan Prudhomme.

Mesyuarat Kabinet akan diadakan secara maya, kata kerajaan.

Ini adalah mesyuarat maya pertama diadakan sejak Perancis membatalkan perintah berkurung mengekang Covid-19 pada Mei lepas.

Presiden Emmanuel Macron semalam berkata beliau sudah menjalani ujian Covid-19 dan keputusannya negatif selepas melawat Lubnan dan Iraq beberapa hari lepas.

Kebimbangan makin memuncak atas kemungkinan wujud gelombang kedua pandemik di Perancis, apabila kes jangkitan semakin naik walaupun kadar kematian masih rendah berbanding jumlah korban tertinggi pernah dicatat pada gelombang pertama.

Pihak berkuasa berkata 6,544 kes baharu dilaporkan semalam. – AFP, 9 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen