53% petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 daripada rakan setugas


Peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan petugas kesihatan membimbangkan kerana mereka tulang belakang perang virus, kata Dr Noor Hisham Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2020.

LEBIH separuh kes petugas kesihatan yang dijangkiti Covid-19 berjangkit daripada rakan setugas mereka, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, hari ini.

Katanya, 53% kes petugas barisan hadapan kesihatan berjangkit daripada rakan setugas, manakala 22% lagi dijangkiti daripada komuniti.

Tidak ada kes petugas kesihatan dijangkiti virus daripada pesakit Covid-19 atau ketika bertugas dalam wad Covid-19, tambahnya.

“Sejak kebelakangan ini terdapat peningkatan kes positif Covid-19 di kalangan petugas barisan hadapan terutamanya petugas kesihatan dari sektor awam dan swasta.

“Keadaan ini adalah membimbangkan kerana mereka memainkan peranan yang penting sebagai tulang belakang sistem kesihatan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham mengingatkan pekerja kesihatan untuk mengambil langkah pencegahan setiap masa terutama sekali ketika bertugas.

Langkah ini termasuklah penjarakan fizikal dengan rakan setugas dan ketika merawat pesakit, menjaga kebersihan ruang bersama seperti kaunter, pantri, ruang solat dan tandas kakitangan.

Beliau juga menekankan keperluan dan kepentingan pekerja kesihatan di hospital dan klinik kesihatan untuk memakai topeng pembedahan tiga lapis sepanjang masa ketika bekerja.

“Petugas kesihatan juga perlu mengamalkan kebersihan tangan, etika batuk dan memakai alat pelindung diri (PPE) yang bersesuaian mengikut keperluan semasa menjalankan tugas.”

Katanya, langkah ini terpakai untuk semua petugas kesihatan di sektor awam dan swasta.

“Pengamal perubatan swasta juga perlu menggunakan PPE yang sesuai apabila menjalankan sebarang prosedur klinikal dan bagi kes yang disahkan positif Covid-19,” tambahnya.

Peringatan Dr Noor Hisham itu dikeluarkan apabila Kluster Sungai yang berasal dari pusat kesihatan swasta di Kedah meledak dan kini sudah menjangkiti 38 orang.

Semalam, beliau turut meluahkan kebimbangan tentang sikap sebilangan petugas kesihatan yang semakin alpa dalam pematuhan SOP cegah Covid-19. – 9 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen