SEBANYAK 24 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini, kebanyakannya dikesan di Kedah, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Sebanyak 13 kes dikesan daripada kluster Sungai, masing-masing satu kes daripada kluster Tawar dan kluster Telaga, manakala satu lagi dikesan melalui saringan di Hospital Sultanah Bahiyah, kesemuanya di Kedah, jelasnya.
Daripada 24 kes baharu yang dilaporkan hari ini, 18 adalah penularan tempatan, manakala enam lagi adalah kes import.
Dua lagi kes penularan tempatan dikesan di Sabah membabitkan kluster Benteng Lahad Datu.
“Daripada 18 kes penularan di dalam negara, 16 adalah di kalangan warganegara Malaysia dan dua adalah bukan warganegara,” kata Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata jumlah keseluruhan kes positif yang direkodkan di Malaysia setakat ini 9,583 kes.
Seramai tujuh pesakit pulih hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih adalah 9,143, tambah Dr Noor Hisham.
Manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 312 kes.
Tiada kes kematian dilaporkan hari ini, oleh itu jumlah kematian kekal 128 orang. – 9 September, 2020.
Komen