Filem Malaysia menang dana penerbitan Festival Filem Antarabangsa Macau


Noor Azam Shairi

(Dari kiri) Pengarah dan produser "The Girl With No Head" Liew Seng Tat; Presiden dan Pengarah Jawatankuasa Penganjur IFFAM Pejabat Pelancongan Kerajaan Macau Maria Helena de Senna Fernandes; Pengarah dan Produser "The Girl With No Head" Pete Teo dan juri IFFAM Project Market, Todd Brown. – Gambar IFFAM, 11 Disember, 2017.

PEMBIKIN filem Malaysia, Liew Seng Tat dan Pete Teo menang satu daripada tiga anugerah dana penerbitan filem di Festival Filem Antarabangsa ke-2 (IFFAM) Macao, hari ini, selepas dinilai daripada 14 projek filem yang bersaing.

Anugerah Huace Pictures daripada sebuah syarikat penerbitan filem China itu membolehkan Liew dan Teo meraih dana sebanyak AS$10,000 bagi menghasilkan filem bertajuk The Girl With No Head, yang akan mereka arah dan terbitkan bersama.

“Kami tidak datang ke sini dengan harapan untuk menang apa-apa kerana matlamat kami hanyalah untuk bertemu dengan seramai mungkin orang daripada industri filem antarabangsa,” kata Teo ketika ditemui selepas majlis pengumuman anugerah di Macau, petang tadi.

“Kami sebenarnya lebih ingin berkenal-kenalan dengan pihak yang berminat dan mahu membantu kami menghasilkan filem ini,” tambah Liew.

“Ini satu penghormatan,” katanya lagi.

The Girl With No Head adalah sebuah lagi projek kerjasama antara Teo, yang juga seorang pemuzik dan penyanyi, dengan Liew, pengarah filem terbaik Festival Filem Malaysia ke-27 melalui Lelaki Harapan Dunia.

Mereka sebelum ini bergabung menghasilkan video sempena Merdeka yang menampilkan Menteri Pengangkutan, Liow Tiong Lai, pada Ogos lalu.

Menurut pasangan pengarah dan penerbit itu, terpilih menyertai saringan bagi anugerah dana bantuan penerbitan itu sendiri satu pengalaman yang membuka mata mereka kepada proses penerbitan dan pemasaran filem ke pasaran yang lebih luas.

“Ada banyak pihak yang berminat dengan projek ini termasuk dari syarikat penerbitan filem serantau,” kata Teo.

The Girl With No Head, yang kini pada peringkat mengumpulkan dana, ialah sebuah cerita aneh yang mengisahkan tentang seorang wanita, Mel, yang mati dipenggal kepalanya dan hidup semula tetapi hilang ingatan.

Dengan kepala yang disambung semula pada badannya, Mel merayau mencari identitinya kembali dengan bantuan seorang lelaki buta.

Filem itu dijangka akan dihasilkan dengan kos RM4.8 juta.

Teo juga memberitahu dengan adanya dana penerbitan itu, mereka kini boleh mula membuat persiapan produksi dan berharap dapat memulakan penggambaran sebelum akhir tahun depan.

Selain Beijing Hairun Pictures Co. Ltd, dua lagi dana bantuan dengan jumlah yang sama ditaja oleh Huace Media Group juga dari China dan Ivanhoe Pictures, sebuah syarikat penerbitan filem yang bertumpu kepada pasaran Asia dan Amerika Utara.

Anugerah Hairun Pictures dimenangi oleh projek filem aksi The Last Savage usaha sama Amerika Syarikat, Perancis dan Indonesia manakala Anugerah Ivanhoe Pictures diberikan kepada Mihara, sebuah thriller psikologi terbitan Jepun dan Amerika Syarikat.

“Kami mencari projek yang ada potensi diterima oleh pengkritik (sebagai sebuah filem yang bagus) dan boleh dipasarkan,” kata Todd Brown, seorang daripada tiga juri yang menilai 14 buah filem yang bersaing untuk tiga anugerah itu.

Bantuan dana penerbitan ini merupakan antara acara yang disusun dalam festival filem yang masuk tahun kedua ini, yang dianjurkan oleh Pejabat pelancongan Macao dengan kerjasama Persatuan Penerbitan dan Kebudayaan Filem dan Televisyen Macao, selain tayangan filem kontemporari dan klasik dari serata dunia.

IFFAM yang dibuka pada Jumaat lepas menayangkan 48 buah filem, dengan tema dan genre yang pelbagai, menggabungkan filem popular Hollywood, arthouse dan klasik. 

10 buah filem bertanding merebut hadiah wang tunai berjumlah AS$60,000 berserta trofi. Hadiah bagi kategori filem, pengarah, pelakon, lakon layar terbaik itu akan diumumkan pada malam penutup pada Khamis. – 11 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen