DR MAHATHIR Mohamad berkata beliau membawa usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Julai lalu kerana mandat rakyat dicuri dan undi mereka jadi tidak bermakna.
“Apa gunanya pilihan raya umum (PRU) jika yang ditolak oleh rakyat boleh mendiri lerajaan, dan yang dipilih oleh mereka dijatuhkan dengan penipuan.
“Inilah sebab utama yang saya kemukakan usul tidak percaya kepada Tan Sri dari Pagoh sebagai perdana menteri. Rebutan jawatan oleh beliau merampas hak rakyat,” katanya dalam usul yang dikemukakan kepada speaker Dewan Rakyat pada Julai.
Ahli Parlimen Langkawi itu memuat naik isi kandungan penuh usul itu di blognya dan akaun media sosial hari ini.
Bekas perdana menteri itu berkata beliau memutuskan untuk mendedahkan isi kandungan usul itu kerana percaya tidak mungkin beliau dapat kemukakan usulnya itu di Parlimen.
“Saya bercadang untuk membawa usul tidak percaya terhadap Muhyiddin sebagai perdana menteri dalam Dewan Rakyat.
“Tetapi kerajaan menentukan usul ini tidak akan dikemukakan dan dibahas dengan dua kali meletak usul ini di akhir sidang dewan.
“Usul Kerajaan didahulukan sehingga tidak ada masa untuk usul saya dibahas. Dengan cara ini sampai bila-bila pun usul saya tidak akan dibincang dalam dewan.
“Oleh kerana saya tidak mungkin kemukakan usul saya dalam Parlimen maka saya terpaksa siar usul ini dalam blog saya untuk tatapan orang ramai,” katanya di blognya. – 9 September, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen