Bersatu perlu kerja keras seolah-olah esok PRU, kata Muhyiddin


Noel Achariam

Muhyddin Yassin pada majlis ulang tahun keempat Bersatu di Mitec, Kuala Lumpur malam ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 8 September, 2020.

AHLI Bersatu perlu bekerja keras seolah-olah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diadakan esok, kata presidennya Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin bagaimanapun berkata bilakah PRU15 akan diadakan tidak harus dipersoalkan ahli akar umbi.

“Jangan tanya saya bila pilihan raya nak diadakan, yang penting kita perlu bekerja secara bersunguh-sungguh seolah-olah besok pilihan raya akan diadakan,” katanya pada sambutan ulang tahun keempat Bersatu di Kuala Lumpur malam ini.

Bersempena sambutan ulang tahun keempat Bersatu hari ini juga, Muhyiddin menyeru ahli sama-sama berganding bahu dan bekerja serapat yang boleh. 

“Dalam tempoh lebih kurang tujuh bulan, dengan keyakinan dan kepercayaan yang saudara telah berikan kepada saya selaku presiden parti dan juga perdana menteri, dengan bersama-sama rakan-rakan seperjuangan dari parti-parti yang juga mendukung prinsip perjuangan kita yang sama.

“Saya telahpun berusaha seberapa daya yang boleh untuk menentukan supaya amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan oleh rakyat  jelata ini dapat kita pikul dengan sebaik-baiknya,” kata Muhyiddin.

Sempena sambutan ulang tahun keempat Bersatu, presidennya Muhyiddin Yassin menyeru ahli berganding bahu dan bekerja serapat yang boleh. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 8 September, 2020.

Selain itu, beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan syabas kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus dalam usaha membendung wabak Covid-19 di negara ini.

“Saya nak beri salute (tabik) kepada frontliners (barisan hadapan) kita. Biar sebut lagi, without the frontliners we will not be here today (tanpa mereka kita tidak akan berada di sini).

“Dengan sokongan mereka, kerja bertungkus-lumus siang dan malam, tinggalkan anak, suami dan isteri, nak menumpukan usaha untuk menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia.

“Kita harus terhutang budi dan budi ini tak mungkin dapat kita balas. Yang boleh hanyalah kita ucapkan jutaan terima kasih atas sumbangan mereka yang menjadi barisan hadapan ini,” katanya.  – 8 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen