KLUSTER Benteng Lahad Datu yang menyaksikan peningkatan ketara kes baharu untuk hari kedua masih belum merebak dalam kalangan masyarakat, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.
Beliau berkata penyebaran jangkitan itu telah dibendung di balai polis daerah Lahad Datu dan penjara Tawau. Kluster tersebut mirip dengan kluster yang dikesan di Pusat Tahanan Imigresen Bukit Jalil menyaksikan 200 kes dalam satu hari pada bulan Jun.
“Yang lebih penting adalah kita memperketatkan sempadan kita dan meningkatkan usaha bagi mengesan pendatang asing tanpa dokumen,” katanya dalam kenyataan mingguan di Putrajaya hari ini.
Noor Hisham berkata, mengekang kemasukan warga asing yang tidak memiliki dokumen melalui laluan haram adalah penting bagi mencegah penularan jangkitan.
Kes indeks kluster tersebut adalah dua pendatang asing tanpa dokumen yang ditahan di balai polis Lahad Datu dan kemudian diuji positif Covid-19.
Setakat ini, seramai 2010 orang diperiksa di Lahad Datu dan Tawau di kluster ini.
Terdapat 87 kes yang dikesan di Lahad Datu dan 41 kes lagi di Tawau.
Berhubung kluster Sungai di Kedah yang berasal dari sebuah pusat kesihatan swasta, Noor Hisham berkata siasatan masih dijalankan.
Beliau berkata bahawa 16 kakitangan kesihatan diuji positif Covid-19 dan seorang telah menyebabkan jangkitan terhadap tujuh ahli keluarganya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan kakitangan kesihatan untuk mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya termasuk memakai alat pelindung diri ketika berjumpa pesakit kerana wujud pesakit yang tidak memiliki simptom penyakit itu.
Kluster ini dikesan selepas pekerja kesihatan yang memiliki simptom diuji positif Covid-19 pada 5 September. Seorang lagi kakitangan yang menjadi kenalan rapat pesakit indeks itu juga diuji positif Covid-19. – 8 September, 2020.
Komen