Lahad Datu jadi satu-satunya zon merah dalam negara


Kluster Benteng Lahad Datu di Sabah menyumbang sebahagian besar daripada 62 kes Covid-19 baharu di negara ini semalam dengan 50 jangkitan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 September, 2020.

LAHAD Datu diisytiharkan sebagai satu-satunya zon merah Covid-19 di negara ini oleh Kementerian Kesihatan berikutan lonjakan kes yang berasal dari kluster Benteng Lahad Datu.

“Lahad Datu di Sabah menjadi satu-satunya zon merah setelah mencatat 43 kes baharu semalam, 7 September,” kata kementerian itu dalam sebuah hantaran Twitter.

“Semua kes baharu dikesan dalam lokap IPD Lahad Datu melibatkan 21 warganegara dan 22 bukan warganegara.

Lahad Datu juga merupakan zon merah bagi kali kedua. Sebelum ini kawasan itu juga pernah diklasifikasikan sebagai zon merah ketika jumlah kes aktif di daerah itu mencecah angka 41 pada 19 April.

Kluster Benteng Lahad Datu di Sabah menyumbang sebahagian besar daripada 62 kes Covid-19 baharu di negara ini semalam dengan 50 jangkitan dilaporkan dalam masa 24 jam.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah jangkitan di kluster itu kini berjumlah 66 kes.

Kes indeks kluster itu adalah dua orang pendatang asing tanpa dokumen yang ditahan di lokap Polis Daerah Lahad Datu pada 24 Ogos.

Kedua-dua mereka disaring dan diuji positif Covid-19 pada 31 Ogos lalu dan dimasukkan ke Hospital Lahad Datu

Noor Hisham berkata, analisis risiko menunjukkan bahawa ruang kecil dan sempit serta kekurangan penjarakan fizikal antara tahanan menjadikan angka kes baharu melonjak.

Beliau berkata 1,404 orang telah diperiksa dalam tempoh seminggu, di samping turut menambah bahawa pengesanan kes aktif dan kontak rapat juga sedang dilakukan.

Daripada 66 kes tersebut, 64 kes adalah banduan lokap.

Satu kes pula melibatkan seorang pegawai penjara sementara yang lain adalah keluarga pegawai tersebut.

Sebanyak 631 banduan, 98 kakitangan penjara dan 157 anggota keluarga kakitangan dan tahanan telah disaring Covid-19.

Selain itu, 78 pegawai polis dan 440 pegawai dari agensi kerajaan lain juga turut diperiksa.

“Dari kes positif Covid-19, 30 (45.5%) adalah warganegara, sementara 36 (54.5%) bukan warganegara,” kata Noor Hisham.

Kluster ini juga telah menular di daerah Lahad Datu dan Tawau.

Sehingga kini, enam negeri berada di zon hijau yang bermaksud bebas dari Covid-19 ia termasuk Kelantan, Terengganu, Johor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Perak. – 8 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen