TINDAKAN dua orang timbalan menteri yang berterusan membuli siber Veveonah Mosibin adalah berniat untuk mengalih perhatian rakyat daripada kegagalan kerajaan Perikatan Nasional dalam pelaksanaan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) di Sabah, kata Lim Guan Eng.
Setiausaha agung DAP itu mengecam tindakan buli Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin dan Timbalan Menteri Kewangan I Abdul Rahim Bakri yang berterusan menyerang Veveonah, pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) tanpa memberikan penjelasan tentang kemajuan pelaksanaan NFCP.
Tambahnya lagi, tuduhan kononnya Veveonah menipu mengambil peperiksaan dalam talian atas pokok di Pitas juga membuatkan ramai rakyat Sabah marah kerana rasa dihina.
“Saya di Sabah apabila Zahidi menyerang Veveonah di Dewan negara dan orang Sabah sangat marah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lim yang juga menteri kewangan ketika pentadbiran Pakatan Harapan berkata lagi, Zahidi dan Abdul Rahim sepatutnya menghentikan tindakan membuli dan memberi tumpuan kepada usaha menaik taraf capaian internet di 50 tapak dalam 13 perkampungan yang sudah diluluskan untuk Sabah.
Lim juga menolak tuduhan Zahidi yang DAP mempolitikkan isu itu.
“Kami hanya mengeluarkan kenyataan apabila Zahid menuduh seorang pelajar berusia 18 tahun di Dewan Negara. Kami tak pernah pun jumpa Veveonah.”
Lim berkata Zahid dan Abdul Rahim sepatutnya membuat kerja mereka dan melaporkan tentang NFCP bernilai RM290 juta yang diluluskan untuk 152 tapak di seluruh negara oleh kerajaan PH sebelum ini.
“NFCP dirancang untuk jadi jambatan penghubung digital antara kawasan bandar dan luar bandar supaya kawasan pedalaman juga mendapat perkhidmatan internet dan peluang saksama.”
Tambah Lim, daripada 152 tapak, 50 tapak atau 33% adalah di Sabah.
Jika dilaksanakan, kata Lim, kelajuan internet di kawasan itu akan naik sehingga 30 Mbps.
50 tapak di Sabah terletak di 13 kawasan- Nabawan, Tenom, Keningau, Papar, Tawau, Semporna, Kunak, Beluran, Tongod, Tuaran, Kudat, Kota Marudu dan Pitas.
Pitas adalah kawasan terletaknya kampung Veveonah.
Zahidi dikecam hebat susulan kenyataanya di Dewan Negara minggu lepas menuduh Veveonah hanya cari perhatian dan menipu tentang kesukaran menduduki peperiksaan dalam talian di atas pokok di Sabah kerana sukar mendapatkan capaian internet.
Wakil rakyat Umno itu sudah meminta maaf tetapi mendedahkan menerima maklumat itu daripada Ahli Parlimen Kudat Abdul Rahim Bakri daripada Bersatu.
Abdul Rahim bagaimanapun bertegas yang siasatannya mendapati tiada peperiksaan dalam talian diadakan pada Jun berdasarkan “sumber” kakitangan Universiti Malaysia Sabah.
Bagi menyokong dakwaan, Veveonah berkongsi jadual peperiksaannya di media sosial yang jelas menyatakan ada peperiksaan universiti dibuat pada 9 sehingga 12 Jun. – 8 September, 2020.
Komen