MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Rahman Dahlan menyelar naib presiden PKR Rafizi Ramli kerana menuduhnya terbabit dalam kronisme hari ini.
“Rafizi kantoi. Raslan Dahlan bukan abang saya. Rafizi berniat jahat!” kata Rahman menerusi Twitter petang ini.
Rafizi hari ini mendakwa Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di bawah Rahman Dahlan, mengurniakan kontrak berjuta ringgit tanpa membuka tender untuk syarikat pengurusan acara Pico Integrated Exhibits (M) Sdn Bhd untuk menganjurkan expo.
Ahli Parlimen Pandan itu turut mendakwa, sumber yang boleh dipercayai memberitahunya Raslan yang merupakan ketua pegawai eksekutif Pico adalah abang Rahman.
Expo yang dipersoalkan adalah Expo Negaraku di Dataran Merdeka. Diadakan bermula 15 November hingga Jumaat, ia mempamerkan projek pembangunan berskala besar yang dijalankan oleh kerajaan.
“Sekali lagi, Rafizi sengaja mencipta penipuan untuk memfitnah saya, kerajaan BN dan (Perdana Menteri) Najib Razak.
“Ini membuktikan Rafizi merupakan penipu bersiri yang tidak takut Allah,” kata Rahman dalam satu kenyataan.
Menurutnya, beliau akan mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Rafizi. Beliau juga berkata kepimpinan Pakatan Harapan perlu mengambil tindakan terhadap Rafizi.
Dalam satu sidang media hari ini, Rafizi berkata beliau akan mendedahkan dokumen bukti Raslan adalah abang kepada Rahman dan kontrak itu diberikan kepada Pico tanpa membuka tender. – 11 Disember, 2017.
Komen