Kluster Benteng LD penyumbang terbesar jangkitan Covid-19 hari ini


Kluster Benteng Lahad Datu (Benteng LD) di Sabah menyumbang lonjakan besar dalam kes Covid-19 di negara ini apabila melaporkan 50 jangkitan baharu dalam 24 jam terakhir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 September, 2020.

KLUSTER Benteng Lahad Datu (Benteng LD) di Sabah menyumbang lonjakan besar dalam kes Covid-19 di negara ini apabila melaporkan 50 jangkitan baharu dalam 24 jam terakhir.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah jangkitan dalam kluster berkenaan kini seramai 66 orang.

Menurutnya analisa risiko menunjukkan bahawa ruang sesak dan sempit serta kekurangan jarak fizikal antara tahanan merupakan penyebab terjadinya lonjakan kes baharu.

Kes indeks kluster yang dikesan pada 1 September adalah dua pekerja asing tanpa izin yang ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu pada 24 Ogos. 

Beliau berkata seramai 1,404 orang menjalani saringan dalam jangka masa seminggu.

Malah katanya pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat juga dilakukan.

Daripada 66 kes, 64 merupakan banduan.

Satu kes melibatkan pegawai penjara sementara yang lain merupakan anak saudara pegawai yang dijangkiti.

Seramai 631 banduan, 98 kakitangan penjara dan 157 keluarga kakitangan serta banduan sudah disaring.

Selain itu seramai 78 pegawai polis dan 440 pegawai dari agensi kerajaan lain juga diperiksa.

“Daripada kes positif Covid-19, 30 (45.5%) merupakan warganegara sedangkan 36 (54.5%) bukan warganegara,” kata Noor Hisham.

Kluster ini juga tersebar di dua daerah iaitu Lahad Datu dan Tawau.

Seramai 420 orang diperiksa di Lahad Datu di mana 50 orang positif manakal 337 orang negatif. Selebihnya seramai 33 orang menunggu keputusan.

Sementara itu seramai 984 orang diperiksa di Tawau dengan 16 kes positif.

Seramai 230 orang negatif sementara 738 orang sedang menunggu keputusan.

Noor Hisham sekali lagi menekankan perlunya mematuhi prosedur operasi standard pada setiap masa dan tempat. – 7 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen