Putrajaya longgar SOP kuarantin individu pulang dari Singapura


Individu bawah skim PCA dikecualikan daripada menjalani kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin, dengan syarat ujian Covid-19 yang dijalani dalam tempoh 24 jam selepas tiba di Malaysia adalah negatif, kata Adham Baba. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 September, 2020.

RAKYAT Malaysia dan penduduk tetap yang pulang dari Singapura di bawah skim Pengaturan Ulang Alik Berkala (PCA) dikecualikan daripada menjalani kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin, dengan syarat ujian Covid-19 yang dijalani dalam tempoh 24 jam selepas tiba di negara ini negatif.

Menteri Kesihatan Adham Baba dalam satu kenyataan hari ini berkata mereka perlu menjalani kuarantin sementara menunggu keputusan ujian polymerase chain reaction (PCR) Covid-19.

“Mereka perlu menjalani arahan kuarantin di kediaman (bagi individu yang tinggal di negeri Johor) atau di Stesen Kuarantin yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia (bagi individu yang tinggal di luar Johor).

“Bagi individu yang ditempatkan di Stesen Kuarantin, mereka perlu menanggung sepenuhnya kos kuarantin tersebut berdasarkan kos yang telah dipersetujui,” katanya.

Adham berkata pas PCA yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa imigresen dan kastam Singapura ketika masuk ke negara ini.

Begitu juga bagi rakyat atau penduduk tetap Singapura yang masuk semula ke Malaysia selepas menjalani cuti pendek di negara asal mereka di bawah skim PCA pula, mereka perlu mengemukakan bukti memiliki MyTravelPass yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Bagi individu yang bekerja di Johor, mereka perlu menjalani kuarantin tujuh hari di rumah atau penginapan yang disediakan majikan, manakala di Stesen Kuarantin bagi yang bekerja di luar Johor.

“Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di bawah Seksyen 15 (1) Akta 342 akan diberikan kepada mereka dan individu ini akan dipakaikan dengan gelang tangan pengawasan sepanjang tempoh tersebut.

“Tempoh kuarantin bagi individu di bawah kategori ini adalah berdasarkan persetujuan yang dicapai antara Malaysia dan Singapura khusus di bawah skim PCA, dan lebih bersifat kelonggaran dan bukannya pengecualian,” kata Adham.

Menurutnya, kelonggaran adalah dari segi tempoh menjalani kuarantin yang telah dipendekkan.

Individu akan dilepaskan daripada menjalani kuarantin hanya jika ujian PCR Covid-19 yang dijalani pada hari kelima didapati negatif dan selepas selesai menjalani tempoh kuarantin 7 hari yang ditetapkan.

KKM juga katanya akan terus memantau pelaksanaan skim PCA dan penilaian semula pencapaian pelaksanaannya serta risiko penularan jangkitan akan dilakukan dari masa ke semasa, katanya. – 7 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen