Pinjam RM31.4 bilion untuk selamatkan sejuta kerja, kata DAP kepada Putrajaya


Putrajaya perlu meminjam lebih banyak bagi mengelak kesan pasca Covid-19 lebih teruk kepada ekonomi dan kehidupan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 September, 2020.

DAP mencadangkan tiga perisai ekonomi yang menelan belanja RM31.4 bilion perlu ditampung Putrajaya bagi menyelamatkan pekerjaan dan kehidupan rakyat.

Setiausaha Agung Lim Guan Eng berkata ia meliputi bantuan kewangan bulanan sebanyak RM1,000, pelanjutan moratorium pinjaman bank enam bulan lagi serta insentif penggajian untuk majikan dan pekerja.

“Dengan kadar pengangguran sebanyak 4.9% atau 773,200 orang pada Jun 2020, kata Menteri Sumber Manusia M Saravanan setakat September, jumlah pencari kerja di negara ini boleh meningkat kepada sejuta orang,” kata bekas menteri kewangan itu dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Beliau memberi peringatan yang Malaysia bakal berdepan kadar pengangguran tertinggi pernah direkod dalam sejarah negara jika jumlah penggangur mencecah sejuta orang.

Maka, Lim mendesak kerajaan bertindak pantas meningkatkan peruntukan bantuan dengan meminjam “puluhan bilion ringgit”.

Tambahnya, pinjaman sebanyak RM31.4 bilion itu yang boleh membantu sejuta penganggur memang nampak menelan belanja tinggi tetapi ia perlu untuk menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan kehidupan rakyat Malaysia.

“Pertama, pelaksanaan serta merta peningkatan bantuan kebajikan bulanan daripada RM200-RM300 kepada RM1,000 yang dicadangkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menelan kos RM12 bilion. Ini akan menyediakan jaringan keselamatan serta merta kepada pekerja yang hilang kerja,” katanya.

Kedua, pelanjutan moratorium pinjaman bank untuk enam bulan lagi yang sepatutnya tamat pada 30 September ini, bagi membantu lapan juta rakyat dan syarikat Malaysia walaupun ia boleh menelan belanja RM6.4 bilion.

“Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata nilai moratorium pinjaman adalah RM78.14 bilion setakat 21 Ogos 2020. RM27.35 bilion digunakan oleh 300,000 perniagaan sementara RM50.79 bilion digunakan 7.7 juta individu Malaysia,” katanya.

Inisiatif ketiga dicadangkan DAP adalah peluasan skim Malaysia@Work yang diperkenal Pakatan Harapan ketika pembentangan Belanjawan 2020, dengan memasukkan insentif penggajian sebanyak RM300 sebulan untuk majikan dan RM500 untuk pekerja untuk menggalakkan pengambilan pekerja tempatan ke dalam pasaran tenaga kerja negara.

“Meluaskan skim itu untuk meliputi 600,000 pekerja Malaysia dan majikan mereka akan menelan belanja RM13 bilion. Ini juga akan membantu lebih 500,000 belia yang menganggur, kelompok terbesar dalam jumlah pengangguran iaitu 4.9%,” kata ahli Parlimen Bagan itu lagi.

Lim memetik penguncupan KDNK negara sebanyak 1.7% pada suku kedua tahun ini berkata, Putrajaya perlu mengalihkan tumpuan kewangan negara daripada pengawalan tahap hutang dan defisit fiskal kepada peminjaman lebih banyak wang kerana situasi mendesak sekarang.

Ini penting, kata Lim, untuk menyelamatkan dan menarik keluar ekonomi daripada kitaran kelembapan selepas negara merekodkan pertumbuhan terburuk dalam kalangan negara Asean pada suku kedua tahun ini. – 7 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen