GPS tak sokong kenyataan Zawawi, kata Fadillah


Keutamaan GPS jelas iaitu kepentingan dan hak rakyat Sarawak termasuklah kebebasan beragama, kata Fadillah Yusof. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 September, 2020.

GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) tidak menyokong kenyataan menteri PAS berkaitan kitab Injil, kata Fadillah Yusof.

Menteri kerja raya Perikatan Nasional itu berkata kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh Muhammad Zawawi Nik Salleh berkaitan kitab Injil adalah pandangan peribadinya dan tidak menggambarkan pandangan rasmi PAS- sekutunya dalam PN Plus GPS.

Tambahnya, walaupun GPS bersekutu dengan PN, ia bukanlah sebahagian daripada pakatan pemerintah diterajui Muhyiddin Yassin itu.

“Apa bezanya dengan DAP dan PAS yang bekerjasama dahulu? Jadi walaupun GPS bekerjasama dengan kerajaan persekutuan, kami bekerja menerusi ‘PN Plus GPS’, bermakna kami bukanlah sebahagian daripada PN,” katanya dipetik The Borneo Post.

Tambahnya, keutamaan GPS jelas iaitu kepentingan dan hak rakyat Sarawak dan tidak akan menyokong mana-mana pemimpin PN yang bertindak bertentangan dengan kepentingan negeri itu.

“GPS adalah GPS. Perjuangan kami untuk Sarawak jelas. Kami utamakan Sarawak, termasuklah kebebasan beragama demi keamanan dan keharmonian kita.

“Tolong jangan bawa isu ini ke Sarawak kerana kami negeri aman yang hormat menghormati tanpa mengira agama dan kaum kami,” katanya lagi.

Fadillah turut berkata Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) ditubuhkan kerajaan negeri dan diketaui Timbalan Ketua Menteri Amar Douglas Uggah membuktikan Sarawak diterajui GPS berbeza dengan Semenanjung.

Zawawi mencetuskan kemarahan selepas berkata di Dewan Rakyat yang penganut Kristian dibenarkan minum arak kerana kitab Injil dipesongkan.

Kumpulan Kristian seluruh negara termasuklah Sabah dan Sarawak serta Persekutuan Kristian Malaysia menuntut Zawawi menarik balik kenyataan dan meminta maaf.

Zawawi bagaimanapun mempertahankan kenyataannya dan enggan menarik balik dakwaan kontroversi itu. – 7 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen