InvestPenang gesa Putrajaya timbang balik sekatan masuk


Sekatan masuk menyeluruh warga 12 negara yang melaporkan lebih 150,000 kes Covid-19 boleh menjejaskan pelaburan asing negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 September, 2020.

INVESTPENANG menggesa Putrajaya mempertimbangkan semula sekatan menyeluruh ke atas warga dari negara yang mempunyai lebih 150,000 kes Covid-19.

Pengarahnya Lee Kah Choon berkata tindakan itu boleh menjejaskan ekonomi negara dan peluang pembentukan pekerjaan.

“Misalnya, 70% projek pelaburan asing terus Pulau Pinang untuk 2019 dan suku pertama tahun ini adalah dari syarikat di Amerika Syarikat dan United Kingdom, yang antara negara dalam sekatan.

“Disebabkan sekatan perjalanan ke atas eksekutif korporat mereka, pelaksanaan projek tertangguh atau berdepan risiko dibatalkan, menjejaskan potensi peluang pekerjaan baharu dan faedah kepada ekonomi tempatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Lee, kepakaran tenaga kerja asing diperlukan untuk pemasangan peralatan dan pemindahan teknologi serta latihan pasukan Malaysia terutama dalam industri elektrik dan elektronik yang menyumbang 93% lebihan dagangan Malaysia dan 38% jumlah eksport Malaysia tahun lepas.

Katanya, sekatan menyeluruh itu akan melewatkan pengeluaran, kelayakan perniagaan baharu dan pemindahan produk ke kilang Malaysia.

Tanpa kerangka masa ditetapkan, Lee berkata sekatan menyeluruh itu boleh menjejaskan imej mesra niaga Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Ini boleh menyebabkan lebih banyak kesukaran untuk bersaing mendapatkan FDI pada masa depan.

“Dengan pelbagai perubahan dasar, kriteria tidak jelas dan proses permohonan panjang, menjadi hampir mustahil untuk pelabur merancang perniagaan mereka dalam persekitaran semasa.

“Negara kita tidak mampu melaksanakan dasar tanpa sokongan sains yang akan menjejaskan teruk kehidupan dan ekonomi,” tambahnya.

Khamis lepas, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sekatan masuk warga asing dari 12 negara termasuk AS ke Malaysia berkuatkuasa 7 September.

Larangan kemasukan itu adalah untuk warga negara yang melaporkan lebih 150,000 kes Covid-19.

Selain AS, senarai itu termasuklah Britain, Brazil, Sepanyol, Perancis, Sepanyol, Itali, Arab Saudi, Rusia, Bangladesh, India, Indonesia dan Filipina. – 7 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Sikit lambat tuan...

    Dimuat naik 5 tahun yang lalu oleh Thomas Samuel · Ulasan