PROGRAM pendidikan percuma bagi meningkatkan aksesibiliti pendidikan kepada kanak-kanak Orang Asli dilancarkan di lima perkampungan komuniti itu di Pahang.
Idea disebalik program yang digelar sebagai “Sekolah Mobil” adalah untuk membawa sesi pembelajaran dan pengajaran ke luar bilik darjah untuk kanak-kanak daripada perkampungan yang tidak terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
Yayasan Keamanan Global (GPF) melancarkan program itu Jun lalu, dan lima kampung perintis yang dipilih adalah Kg. Cerampak, Kg. Patah Jelutong, Kg. Petoh, Kg. Teraling dan Kg. Terubing.
Pengarah GPF Dr Teh Su Thye memberitahu The Malaysian Insight yang program di lima kampung tersebut melibatkan antara 10 sehingga 15 pelajar berusia antara lima sehingga 15 tahun di setiap kampung.
“Sesi dijalankan dua sehingga empat kali seminggu,” kata Dr Teh.
Katanya, program Sekolah Mobil mensasarkan pelajar Orang Asli di perkampungan yang tidak berdaftar dengan Jakoa atau kampung kecil yang tidak mendapat perhatian NGO lain.
“Perkampungan ini, kebanyakannya terletak dalam ladang atau pinggir hutan digelar ‘kampung serpihan’ oleh Jakoa dengan purata jumlah penduduk antara 10 sehingga 20 isi rumah sahaja.
“Disebabkan itu, kampung kecil ini jarang mendapat perhatian dan bantuan daripada NGP dan Jakao berbanding kampung dan penempatan Orang Asli lain yang lebih besar.”
Sekolah Mobil ini direka untuk mampu menampung pergerakan keluar pelajar untuk memasuki sekolah awam atau organisasi Orang Asli lain di daerah itu untuk mengambil alih pengurusan Sekolah Mobil apabila strategi dan kandungan pembelajaran sudah diwujudkan.
Dr Teh berkata aktiviti pembelajaran akan memberi tumpuan untuk membantu pelajar mempelajari kemahiran yang sesuai dengan keperluan dan minat peribadi mereka seperti membaca, mengira, komunikasi dan kemahiran penyelesaian masalah.

Guru Orang Asli untuk pelajar Orang Asli
Program itu juga bermatlamat untuk mengambil dan melatih Orang Asli sendiri untuk mengajar kanak-kanak komuniti itu, kata Dr Teh.
Katanya, ini disebabkan, walaupun banyak kumpulan masyarakat sivil banyak membina sekolah dan membawa guru sukarelawan tetapi kadar keluar masuk guru terlalu tinggi.
Dr Teh berkata kebiasaannya guru sukarelawan tidak bertahan lama di kawasan perkampungan.
“Mulanya sukar untuk kami rekruit Orang Asli jadi guru. Ada yang malu dan ada yang rasa mereka tak boleh buat, tetapi kami kenal pasti mereka yang berminat dan ajar mereka,” kata Dr Teh.
Latihan dibuat kakitangan GPF melibatkan pengajaran dan latihan untuk guru Orang Asli antara lainnya kemahiran mengadakan sesi pembelajaran dan mengawal bilik darjah.
Guru dibayar setimpal dengan tugas oleh GPF, kata Dr Teh lagi.
Guru Orang Asli yang direkrut GPF datang daripada pelbagai latar belakang, ada antara mereka graduan universiti, pekerja ladang sehinggalah suri rumah turut diambil.
Dr Teh berkata dengan merekrut dan melatih Orang Asli sebagai guru, sesi pembelajaran jadi lebih berkesan kerana kanak-kanak Orang Asli lebih selesa.
Tambahnya, dengan melatih Orang Asli menjadi guru di setiap kampung untuk mengajar pelajar terlibat, ia boleh menjadi salah satu penyelesaian kepada kemiskinan pendidikan yang berleluasa dalam kalangan komuniti Orang Asli di seluruh negara.

Cabaran kepada komuniti Orang Asli
Sepanjang bekerja dengan komuniti Orang Asli, GPF mendapati banyak kampung di Pahang dan Perak mempunyai kadar literasi rendah, kadar keciciran sekolah tinggi dan lebih buruk lagi, ramai juga kanak-kanak yang tidak pernah masuk sekolah.
Lokasi pedalaman, kemiskinan, tiada persediaan pra sekolah, buli dan kekurangan kesedaran pendidikan ibu bapa adalah antara sebab mengapa pelajar Orang Asli tidak mendapat atau menamatkan persekolahan mereka.
Lokasi pedalaman dan jalan masuk yang teruk ke kampung ini dan masalah pengangkutan menyebabkan ibu bapa sukar menghantar anak mereka ke sekolah.
Disebabkan majoriti Orang Asli hidup dalam kemiskinan tegar, ibu bapa juga mungkin terbeban hendak membayar yuran serta membeli buku dan uniform sekolah.
Menetap di kawasan pedalaman, kanak-kanak Orang Asli sukar berintegrasi sehingga menyebabkan mereka dibuli di sekolah kerana masalah pergaulan rakan sebaya.
Dr Teh berkata kekurangan kesedaran tentang kepentingan pendidikan dalam kalangan ibu bapa Orang Asli juga menjadi cabaran besar.
“Kadang-kadang bila pelajar beritahu ibu bapa yang mereka tak mahu sekolah lagi, ibu bapa terima sahaja kerana mereka selalunya tidak memaksa perkara begitu (pendidikan),” katanya.
CPF adalah kumpulan masyarakat sivil yang membantu Orang Asli di Pahang antaranya membina pam air, menyediakan pendidikan kepada kanak-kanak dan mendapatkan bantuan kewangan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasa. – 8 September, 2020.
Komen