Australia lanjut perintah pengurungan di Melbourne


Australia hari ini melanjutkan perintah pengurungan ketat di bandar kedua terbesar di negara itu selama dua minggu walaupun jumlah jangkitan virus Covid-19 sudah menurun. – Gambar AFP, 6 September, 2020.

AUSTRALIA hari ini melanjutkan perintah pengurungan ketat di bandar kedua terbesar di negara itu selama dua minggu walaupun jumlah jangkitan virus Covid-19 sudah menurun.

Jumlah kes yang rendah itu bagaimanapun tidak cukup memberi jaminan tidak akan ada peningkatan kes baharu.

Perintah pengurungan di Melbourne dijangka berakhir minggu depan namun Ketua Kerajaan Victoria Daniel Andrews berkata bahawa penutupan akan terus dikuatkuasakan sehingga 28 September.

“Jika kita longgarkan sekatan terlalu cepat berkemungkinan kita akan berdepan gelombang ketiga Covid-19,” katanya.

Hanya 63 kes baharu dan lima kematian dicatatkan di Victoria hari ini di mana sebelum ini bandar itu pernah mencapai 700 kes sehari.

Harapan penduduk untuk kembali menjalani kehidupan normal hujung bulan ini musnah apabila perlu mematuhi banyak perintah larangan antaranya sekatan jumlah pengunjung ke rumah, had perjalanan tidak melebihi lima kilometer akan terus dikuatkuasakan sekurang-kurangnya sehingga 26 Oktober depan.

Sekatan akan dilonggarkan di Melbourne mulai 13 September termasuk perintah berkurung waktu malam yang sebelum ini dilanjutkan sehingga jam 9 malam manakala waktu bersukan ditambah dua jam.

Di bawah rancangan kerajaan, pusat jagaan kanak-kanak akan dibuka semula dan lima orang dibenarkan berkumpul di luar rumah bermula hujung September namun ia berlaku sekiranya kes menurun kepada 50 kes baharu setiap hari.

Peraturan untuk penduduk wilayah Victoria akan dilonggarkan dengan lebih cepat kerana bilangan kecil kes aktif di kawasan berkenaan.

Pengumuman itu dibuat sehari selepas penunjuk perasaan anti-perintah pengurungan ditahan di Melbourne.

Ratusan penduduk menghadiri perhimpunan haram yang dianjurkan secara dalam talian oleh ahli teori konspirasi yang melabelkan tindakan kerajaan terhadap pandemik itu adalah satu penipuan.

Australia yang mempunyai populasi 256 juta penduduk dilihat berjaya mengawal penularan wabak itu dan kini mencatatkan 26,000 kes positif Covid-19 dengan 753 kematian.

Sebilangan besar kes dilaporkan di Melbourne selama dua bulan terakhir sementara wilayah lain sudah menarik semula sekatan selepas berjaya mengawal penularan wabak berkenaan. – AFP, 6 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen