Singapura catat 40 kes baharu Covid-19 dengan 13 kes import


SINGAPURA mengesahkan tambahan 40 lagi  kes positif Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah terkumpul jangkitan tersebut di republik itu sebanyak 57,022 kes.

Menurut Kementerian Kesihatan republik itu, kes baharu terbabit termasuk empat penularan dalam komuniti melibatkan pemegang pas kerja.

Selain itu, terdapat 13 kes import yang kesemuanya telah diletakkan di bawah notis kuarantin di rumah, kata kementerian tersebut dalam kenyataan hari ini.

Berdasarkan data penuh yang dikeluarkan lewat semalam, republik itu mengklasifikasikan 923 daripada kes yang dilaporkan sebagai kes import,  2,225 jangkitan dalam komuniti dan selebihnya sebanyak  53,834 kes lagi melibatkan penghuni asrama pekerja.

Setakat ini, seramai  56,267 pesakit telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan manakala 50 masih dirawat di hospital namun tiada yang ditempatkan di unit rawatan rapi.

Seramai 638 pesakit yang bergejala ringan atau sihat secara klinikal namun diuji positif Covid-19 telah diasingkan dan dirawat di pusat jagaan komuniti.

Setakat ini Singapura merekodkan 27 kematian akibat jangkitan itu.

Selain itu, sebanyak tiga kluster baharu dikenal pasti semalam iaitu di Cochrane Lodge I,  Mandai Lodge I dan Tuas South Dormitory. – Bernama, 6 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen