PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Johor Muhyiddin Yassin yakin blok pembangkang itu akan berjaya merampas negeri Johor dari tangan BN dalam pilihan raya umum akan datang.
Bekas timbalan perdana menteri itu mendakwa, perubahan sokongan pengundi itu malah dapat dilihat di kerusi selamat BN seperti Johor Bahru, yang dikuasai veteran Umno Shahrir Abdul Samad.
“Mereka kata Johor ini ‘blue state’, warna biru iaitu warna BN. Saya kata mana ada biru lagi, ia sudah kelabu sekarang.
“Dulu tengok JB (Johor Bahru) Shahrir Abdul Samad menang berkali-kali tetapi sekarang JB pun akan tumbang kepada PH,” katanya sambil disambut sorakan hadirin dalam ucapan di Johor Bahru malam tadi.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, keadaan ini akan memberi peluang kepada PH untuk menambah bilangan kerusi DUN dan merampas Johor dari tangan BN.
“Kita dah ada 19 kerusi DUN yang kita menang. Nak menang Johor kita hanya perlu ada menang 29 kerusi untuk dapatkan majoriti mudah,” kata ahli Parlimen Pagoh itu.
Muhyiddin membayangkan bahawa penyusutan pengaruh BN itu pastinya dapat dikesan oleh jentera Najib.
Katanya laporan agensi kerajaan yang diterima Najib pastinya menggusarkan hati perdana menteri itu apabila menyedari sokongan kepada BN semakin merosot.
Sebab itulah Perdana Menteri Najib Razak belum membubarkan Parlimen kerana tidak pasti waktu paling sesuai untuk berbuat demikian, kata Muhyiddin lagi yang berpengalaman luas dalam mengetuai jentera BN.
Selain Pagoh, PH kini mempunyai lima lagi Ahli Parlimen di Johor iaitu Lim Kit Siang (Gelang Patah) Liew Chin Tong (Kluang), Er Teck Hwa (Bakri), Teo Ni Ching (Kulai) dan Mohd Idris Jusi (Batu Pahat).
Program pada malam tadi turut dihadiri pimpinan kanan PH Johor termasuk Liew, Pengarah Pilihan Raya PH Johor Salahuddin Ayub, Pengerusi PKR negeri Hassan Karim, Pengerusi Bersatu negeri Shahruddin Md Salleh dan juga Pengerusi Amanah negeri Aminolhuda Hassan. – 11 Disember, 2017.
Komen