SEBANYAK tujuh laporan polis dibuat terhadap Ahli Parlimen Pasir Puteh Nik Muhammad Zawawi Salleh berhubung kenyataannya mengenai agama Kristian dan minum arak, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Aidi Ismail.
Bercakap kepada The Malaysian Insight Aidi berkata lima laporan dibuat di Sarawak dan masing-masing satu di Kuala Lumpur serta Sabah.
“Kami sedang menyiasat perkara itu. Selepas itu kami akan serahkan kepada Bukit Aman,” katanya.
Beliau berkata polis Sarawak sedang menyiasat perkara itu kerana laporan pertama dibuat di Kuching.
Awal hari ini Ketua Jabatan Siasatan Jenayah KL (CID) Nik Nor Azhan berkata pasukannya menerima satu laporan yang dibuat di Brickfields dua hari lepas.
Katanya pengadu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Taman Tun Dr Ismail setelah mereka diberitahu untuk memberi kenyataan di Balai Polis Travers.
Nik Zawawi telah menimbulkan kemarahan penganut Kristian apabila mengeluarkan kenyataan yang alkohol dibenarkan agama Kristian kerana kitab Injil telah diubahsuai.
kumpulan Kristian di Sabah dan Sarawak serta juga Persekutuan Kristian Malaysia mendesak Zawawi menarik balik katanya dan memohon maaf.
Bagaimanapun ahli parlimen Pasir Puteh itu tetap berpegang pada kenyataannya, malah enggan meminta maaf, walaupun telah menimbulkan kemarahan selain siasatan polis di bawah kerana menghasut sedang dijalankan.
Dua ahli Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dari Sabah menyaman Ahli Parlimen Pasir Puteh Nik Muhammad Zawawi Salleh kerana kenyataan kontroversi berkaitan alkohol dalam agama Kristian.
Ketua Bahagian Star Tanjung Aru Marcel Jude Joseph dan ahli parti, Margaret Binsing, mendakwa wakil rakyat PAS itu menghina dan gagal menghormati agama lain kerana kenyataan itu.
Peguam mereka juga memfailkan injuksi di Sabah bagi menghalang Zawawi daripada membuat kenyataan lanjut mengenai agama mereka.
Notis tuntutan menyatakan Zawawi secara salah mendatangkan kerosakan, membahayakan, mencederakan, menyinggung dan mensensasikan agama dan kepercayaan plaintif. – 6 September, 2020.
Komen