PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin perlu menjelaskan sekiranya beliau serius mahu pub dan kelab malam kekal ditutup, kata Lim Kit Siang dari DAP.
Kenyataan yang dikeluarkan PM itu mengundang rasa kurang senang golongan pemuzik dan pemilik kelab malam yang mencari sumber pendapatan dari tempat-tempat sedemikian, kata ahli Parlimen Iskandar Puteri berkenaan.
Beliau berkata kenyataan itu tidak ada di dalam teks ucapan rasmi Muhyiddin di sebuah konvensyen Perikatan Nasional 1 September lepas.
“Adakah Muhyiddin serius atau berseloroh. Kenapa dia tidak menjelaskan perkara itu selepas ia menimbulkan rasa sedih dan kecewa kepada pemuzik serta pemilik kelab malam?,” kata Lim dalam satu kenyataan.
Muhyiddin berkata ekonomi menunjukkan tanda-tanda pulih selepas semua sektor kecuali pub dan kelab malam telah dibuka semula di bawah perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) yang dilanjutkan sehingga 31 Disember.
“Yang tak buka hanyalah kelab-kelab malam dan pub, itu menurut saya kalau tak buka selama-lamanya pun tak apa (gurau). Kerana susah nak mengamalkan penjarakan sosial,” katanya.
Kenyataan itu bagaimanapun mengundang kemarahan Persekutuan Industri Hiburan Malaysia yang menyatakan bahawa perhimpunan politik, keagamaan dan awam juga perlu dilarang sekiranya kebimbangan mengenai penjarakan sosial adalah alasan kenapa pub dan kelab malam perlu ditutup.
Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali menerusi media sosial semalam juga menyatakan sokongan terhadap Muhyiddin, menyeru penutupan sepenuhnya pub dan kelab malam di Malaysia.
Lim mempersoalkan adakah menteri PAS itu berusaha membentuk kerajaan Muhyiddin mengikut imej PAS sebagai sebuah parti politik agama dan konservatif. – 6 September, 2020.
Komen