POLIS Kuala Lumpur telah menerima laporan polis terhadap ahli parlimen PAS Nik Muhammad Zawawi Salleh berkaitan kenyataannya tentang kitab Injil telah “diputar belit dan diubah suai”.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Nik Ros Azhan berkata laporan itu sekarang berada di Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5) di Bukit Aman.
“Kami baru terima laporan itu dan perkara ini telah di bawa ke unit D5 Bukit Aman,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Katanya, pelapor membuat laporan itu di balai polis Taman Tun Dr Ismail setelah mereka diberitahu untuk memberi kenyataan di balai polis Travers.
The Malaysian Insight telah menghubungi Ketua Penolong Pengarah D5 Mior Faridalathrash Wahid untuk mendapatkan penjelasan.
Nik Zawawi telah menimbulkan kemarahan penganut Kristian apabila mengeluarkan kenyataan yang alkohol dibenarkan agama Kristian kerana kitab Injil telah diubahsuai.
Justeru, kumpulan Kristian di Sabah dan Sarawak serta juga Persekutuan Kristian Malaysia mendesak Zawawi menarik balik katanya dan memohon maaf.
Bagaimanapun ahli parlimen Pasir Puteh itu tetap berpegang pada kenyataannya, malah enggan meminta maaf, walaupun telah menimbulkan kemarahan selain siasatan polis di bawah kerana menghasut sedang dijalankan.
Bagaimanapun beliau tetap mempertahankan kenyataannya sebelum ini bahawa penggunaan alkohol dilarang oleh semua agama dan “merayu” semua pihak yang memutarbelitkan kenyataannya untuk menyokong kempen Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong menentang pemandu mabuk.
“Kepada mereka yang berkeras untuk meminta maaf, marilah kita bertemu dan minum secangkir teh ketika duduk serta berbincang dan saling memahami antara satu sama lain.
“Kami umat Islam, dan juga orang Kristian, percaya ada Perjanjian Lama yang dibawa oleh Nabi Isa dan Perjanjian Baru yang ditulis setelah kematiannya,” katanya.
Dua ahli Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dari Sabah menyaman Ahli Parlimen Pasir Puteh Nik Muhammad Zawawi Salleh kerana kenyataan kontroversi berkaitan alkohol dalam agama Kristian.
Ketua Bahagian Star Tanjung Aru Marcel Jude Joseph dan ahli parti, Margaret Binsing, mendakwa wakil rakyat PAS itu menghina dan gagal menghormati agama lain kerana kenyataan itu.
Peguam mereka juga memfailkan injuksi di Sabah bagi menghalang Zawawi daripada membuat kenyataan lanjut mengenai agama mereka.
Notis tuntutan menyatakan Zawawi secara salah mendatangkan kerosakan, membahayakan, mencederakan, menyinggung dan mensensasikan agama dan kepercayaan plaintif. – 6 September, 2020.
Komen