6 kes baharu Covid-19 hari ini, hanya 2 kes tempatan


HANYA dua kes jangkitan tempatan daripada enam kes baharu Covid-19 dilapor hari ini, kata Kementerian Kesihatan.

Satu kes jangkitan tempatan berasal dari Kluster Telaga, Kedah dan satu lagi dari Hospital Lahad Datu, Sabah.

“Terdapat pertambahan satu (1) kes baharu dilaporkan bagi Kluster Telaga di negeri Kedah. Kes ini (Kes ke-9391) merupakan kontak rapat kepada kes indeks (Kes ke-9284) di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

“Beliau didapati positif Covid-19 semasa saringan yang dijalankan pada 3 September 2020. Justeru, jumlah kes positif Covid-19 dalam kluster ini adalah sebanyak sembilan (9) kes.

“Sehingga 5 September 2020 jam 12 tengah hari, seramai 3,458 orang telah disaring dalam kluster ini,” kata kenyataan.

Empat lagi kes baharu Covid-19 hari ini adalah kes import melibatkan dua warga Malaysia, seorang warga India dan seorang warga Bangladesh.

Dengan pertambahan enam kes baharu hari ini, jumlah kes aktif Covid-19 Malaysia adalah 150.

Terdapat lima pesakit sedang dirawat dalam ICU dan tiga daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

KKM juga melaporkan tiada kematian hari ini, menjadikan jumlah korban wabak kekal 128 orang. – 5 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen