Tuntut gaji naik, doktor Nigeria mogok lagi


Mogok di kalangan pekerja perubatan sering terjadi di Nigeria yang kekurangan dana bagi sektor kesihatannya. – Gambar AFP, 5 September, 2020.

DOKTOR-doktor yang bekerja di hospital kerajaan di Nigeria akan melancarkan mogok bermula minggu depan bagi menuntut kenaikan gaji, penjagaan kebajikan lebih baik dan kemudahan yang mencukupi, kata pemimpin kesatuan pekerja.

Mogok yang dilancarkan Persatuan Doktor Tetap Nasional (Nard), yang mewakili sekitar 40 peratus doktor, adalah tindakan terbaharu dalam episod  ketidak puasan hati pekerja perubatan ketika negara paling ramai penduduk di Afrika kini bergelut bagi mengekang penularan Covid-19.

“NEC (dewan eksekutif nasional)  Nard memutuskan untuk meneruskan mogok di seluruh negara bermula hari Isnin,” kata presiden Nard Aliyu Sokomba dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tindakan itu tidak akan dibatalkan sehingga kerajaan memberikan “insurans nyawa dan faedah kematian untuk semua pekerja kesihatan” selain membayar gaji dan elaun tertunggak.

Beliau berkata bahawa kesatuan itu mahu pembayaran setara bagi kedua-dua doktor di institusi kesihatan persekutuan dan negeri.

Mogok di kalangan pekerja perubatan sering terjadi di Nigeria yang kekurangan dana bagi sektor kesihatannya.

Pihak berkuasa bimbang pengurangan kapasiti boleh merencatkan usahanya menangani wabak itu kerana jumlah kes terus meningkat.

Pada bulan Jun, Nard melakukan mogok selama seminggu ekoran kekurangan alat pelindung khas bagi doktor yang merawat kes virus merbahaya di tempat kerja.

Nigeria, negara paling ramai penduduk di Afrika dengan bilagan 200 juta penduduk mencatatkan 54,743 kes Covid-19 dan 1,051 kematian.

Menurut Pusat Kawalan Penyakit Nigeria, lebih dari 800 pekerja kesihatan telah dijangkiti virus tersebut. – AFP, 5 September, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen