POLIS semalam mengenakan kompaun ke atas 15 orang yang hadir majlis persendirian kerana gagal mematuhi garis panduan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), kata Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, dalam operasi dilakukan di seluruh negara, 46 individu ditahan kerana pelbagai kesalahan.
“45 individu dikompaun dan seorang lagi direman.
“Antara kesalahan termasuklah 15 individu dalam sebuah majlis persendirian,” kata Ismail walaupun tidak memberikan butiran terperinci kejadian itu.
Individu lain yang ditahan termasuklah lapan orang kerana tidak menyediakan peralatan pemeriksaan suhu badan dan buku kemasukan, 11 orang tidak memakai pelitup muka, 10 premis beroperasi lebih masa, satu premis beroperasi tanpa lesen dan satu kes tiada penjarakan sosial.
Tambah Ismail Sabri lagi, operasi bersama antara polis, tentera dan pihak berkuasa perairan negara juga berjaya menahan 74 orang pendatang tanpa izin, empat orang penyeludup dan seorang tekong.
Pihak berkuasa juga menyita lima buah kenderaan ketika serbuan.
Selain itu, sebanyak 79 sekatan jalan raya dilakkan untuk mengesan pendatang asing tanpa izin, Ismail Sabri turut memberi amaran tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak cuba menceroboh sempadan negara dan pihak berkuasa akan terus mengetatkan kawalan sempadan.
Selain itu, 22,906 warga Malaysia telah pulang ke tanah air menerusi pintu sempadan antarabangsa dan kini ditempatkan di 70 buah hotel dan pusat latihan.
Daripada jumlah itu, 9,028 masih menjalani kuarantin wajib dan 66 orang dihantar ke hospital untuk rawatan, manakala 13,812 sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, katanya lagi. – 5 September, 2020.
Komen