INDIA menjadi negara ketiga melepasi rekod empat juta kes Covid-19, juga mencipta rekod baharu dengan kes harian terbanyak hari ini ketika krisis kesihatan awam itu masih belum menunjukkan akan reda.
Sebanyak 86,432 kes baharu dilapor di India menaikkan jumlah kes kepada 4,023,179, meletakkannya di tempat ketiga di belakang Amerika Syarikat (6.3 juta kes) dan Brazil dengan 4.1 juta kes.
Kerajaan India melonggarkan sekatan pergerakan untuk memulihkan ekonomi dan negara itu kini melaporkan pertambahan kes baharu lebih 80,000 kes sehari dengan jumlah kematian harian lebih 1,000 orang.
Jumlah kes Covid-19 di India naik daripada tiga kepada empat juta dalam hanya 13 hari, lebih pantas berbanding AS dan Brazil.
Wabak itu kini merebak ke seluruh kawasan pendalaman yang tidak mempunyai kemudahan perubatan baik, ia juga meledak di bandar besar seperti Delhi dan Mumbai.
Negeri Maharashtra yang terletaknya Mumbai, adalah pusat wabak di India sejak perintah berkurung seluruh negara dikuatkuasa pada Mac. Suku daripada kes baharu harian dilaporkan di wilayah itu. India mempunyai 1.3 bilion penduduk.
Shamika Ravi, seorang profesor ekonomi dan bekas penasihat kerajaan yang memantau rapi perkembagaan wabak di India berkata, negara itu “masih tidak mencapai puncak jangkitan” dan Maharashtra perlu jadi “tumpuan” perangi wabak.
“Tidak boleh kawal Covid-19 di India tanpa kawal wabak di Maharashtra,” katanya di Twitter. – AFP, 5 September, 2020.
Komen