Najib politikkan isu ladang durian, kata NGO


Ravin Palanisamy

Pengerusi Samka Wilson Chang berkata Najib Razak sengaja mengubah isu durian di Raub, Pahang menjadi isu perkauman dan mempolitikkan perkara berkenaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 September, 2020.

BEKAS perdana menteri Najib Razak tidak sepatutnya terlibat dalam isu durian yang dihadapi oleh petani di Raub, Pahang jika tidak mengetahui hal sebenar, kata Pengerusi Perikatan Selamatkan Durian King (Samka) Chang Yee Chin @ Wilson Chang.

Chang berkata ahli Parlimen Pekan itu bukan cuba untuk menyelesaikan masalah tetapi sengaja mengubahnya menjadi isu perkauman dan mempolitikkan perkara berkenaan.

“Namun apa yang sangat pelik adalah apabila beliau tidak dapat menyelesai sesuatu masalah, beliau akan melakukan hasutan atau mengadu domba supaya masyarakat hilang fokus tentang persoalan sebenar bagi sesuatu isu.

“Sebenarnya Najib sengaja menghubungkaitkan isu-isu dasar pertanian serta isu tanah dengan isu perkauman.

“Strategi beliau adalah mengalihkan perhatian daripada isu eksploitasi oleh korporat swasta dan kerajaan serta beliau cuba menjustifikasikan eksploitasi dan tindakan terhadap pekebun,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Najib menerusi akaun Facebook semalam mempersoalkan kenapa seorang ahli DAP dari Kajang (Chang) terlibat dalam isu pekebun durian di Pahang. 

Chang berkata menjadi ahli DAP bukan alasan untuknya untuk tidak menolong pekebun yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Chang yang dilantik sebagai ahli majlis Kajang pada 2018 berkata beliau meletak jawatan pada Februari untuk membantu ibu bapanya yang mengalami masalah kesihatan dan kembali ke kampung menguruskan kebun durian mereka di Sg. Klau.

“Saya anak jati Raub, seperti budak kampung baru yang lain, saya telah menuntut pelajaran saya di SJKC Sungai Lui dan SMJK Chung Ching.

“Selepas itu, saya telah bekerja di bandar dan pada masa itulah saya telah mengenali DAP. Saya telah menyertai DAP cawangan Dutamas kerana ideologinya, saya telah dilantik sebagai ahli majlis kajang pada tahun 2018 kerana sikap prihatin saya terhadap masyarakat tempatan.

“Pada Februari 2020, disebabkan orang tua di rumah kurang sihat, maka saya meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis, dan kembali ke kampung untuk meringankan beban keluarga saya terutamanya kerja-kerja seharian dalam kebun Durian.

“Saya sanggup memimpin kempen ini bukan kerana saya ahli DAP, tetapi saya serta sahabat-sahabat saya, biarpun bangsa Cina atau bangsa Melayu, kami menghadapi masalah yang sama: kerajaan berkomplot dengan korporat swasta dan merampas titik peluh serta tanah yang kami uruskan,” katanya. – 5 September, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen