Vaksin Rusia lulus ujian awal


UJIAN awal vaksin koronavirus milik Rusia menunjukkan hasil memberangsangkan ketika perinciannya diterbitkan pada Jumaat, tetapi para pakar berkata ujian itu terlalu kecil untuk membuktikan keselamatan dan keberkesanannya.

Rusia bulan lalu mengumumkan vaksinnya, yang diberi nama “Sputnik V” sempena nama satelit era Soviet yang pertama kali dilancarkan ke angkasa pada 1957, menerima kelulusan.

Ia menimbulkan kebimbangan di kalangan saintis Barat mengenai kekurangan data keselamatan, dengan beberapa amaran yang pembangunan vaksin terlalu cepat boleh membahayakan.

Rusia menganggap kritikan itu sebagai usaha untuk melemahkan penyelidikan Moscow dan seorang pelabur Rusia menjustifikasikan apabila Lancet di Britain menerbitkan penyelidikan yang menunjukkan pesakit dalam ujian awal mengembangkan antibodi dengan “tiada kejadian buruk yang serius.”

Dalam kajian Lancet, penyelidik Rusia melaporkan dua ujian kecil, melibatkan 38 orang dewasa yang sihat berusia antara 18 dan 60 tahun, yang diberi imunisasi dua bahagian.

Setiap peserta diberi dos bahagian pertama vaksin dan kemudian diberi penggalak dengan bahagian kedua 21 hari kemudian.

Mereka dipantau selama 42 hari dan semua antibodi berkembang dalam tiga minggu pertama.

Laporan itu berkata data menunjukkan vaksin itu “selamat, ditoleransi dengan baik, dan tidak menyebabkan kejadian buruk yang serius kepada sukarelawan dewasa yang sihat”.

Ujian secara terbuka dan bukan secara rawak, yang bermaksud tiada plasebo dan para peserta tahu mereka menerima vaksin dan tidak diberikan secara rawak kepada kumpulan rawatan yang berbeza.

Penyelidik menegaskan ujian lebih besar dan lebih lama - termasuk perbandingan plasebo - diperlukan untuk memastikan keselamatan dan keberkesanan vaksin jangka panjang untuk mencegah jangkitan Covid-19.

Laporan itu berkata 76 peserta ujian ini akan dipantau hingga 180 hari, sambil menambah percubaan klinikal fasa 3 yang lebih ketat sudah dirancang dengan penglibatan 40,000 sukarelawan “dari kumpulan umur dan risiko yang berbeza”. – AFP, 5 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen