Hospital Iraq berdepan lonjakan kes Covid-19


Lonjakan kes Covid-19 di Iraq dikaitkan dengan sambutan Hari Ashura yang berlangsung tanpa langkah keselamatan yang disyorkan, termasuk pemakaian pelitup muka atau penjarakan sosial. – Gambar EPA, 5 September, 2020.

IRAQ pada Jumaat mencatatkan kenaikan harian tertinggi kes Covid-19 sejak bermulanya wabak itu, mendorong pihak berkuasa memberi amaran yang hospital mungkin “kehilangan kawalan” dalam beberapa hari akan datang.

Menurut Kementerian Kesihatan Iraq, 5,036 jangkitan koronavirus baharu disahkan pada Jumaat, menjadikan jumlah kes di seluruh negara kepada 252,075, di antaranya 191,368 sudah pulih dan 7,359 meninggal dunia.

Kementerian kesihatan mengaitkan lonjakan itu kepada “himpunan besar” baru-baru ini yang berlangsung tanpa langkah keselamatan yang disyorkan, termasuk pemakaian pelitup muka atau penjarakan sosial.

Itu termasuk sambutan Ashura pada 30 Ogos, sempena memperingati pembunuhan cucu Nabi Muhammad, Hussein pada tahun 680 Masihi.

Pada hari itu, puluhan ribu umat Islam Syiah berkumpul di kota suci Karbala di selatan Iraq.

Pihak berkuasa Karbala memperkenalkan langkah baharu bagi membendung penyebaran virus, termasuk mengehadkan akses ke kawasan terlibat dan penyemburan pembasmi kuman secara meluas.

Tetapi kementerian kesihatan memberi amaran langkah itu tidak mencukupi.

“Jumlah kes dijangka meningkat lebih tinggi dalam beberapa hari mendatang, yang kami bimbangkan akan menyebabkan institusi kesihatan hilang kawalan ketika mereka berusaha menangani jumlah yang besar ini,” kata kenyataannya pada Jumaat.

“Ini akan menyebabkan peningkatan jumlah kematian, selepas kami berusaha untuk mengurangkannya selama beberapa minggu terakhir,” tambahnya.

Hospital di Iraq banyak yang musnah disebabkan konflik selama bertahun-tahun dan pelaburan yang buruk, dengan kekurangan ubat-ubatan, katil hospital dan juga peralatan perlindungan untuk doktor.

Menjelang Ashura, Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengingatkan kes Covid-19 di Iraq meningkat dengan “kadar yang membimbangkan” dan berkata Iraq harus mengambil tindakan untuk mengakhiri penularan komuniti “dengan apa cara sekali pun”. – AFP, 5 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen