SATU kluster baharu Covid-19 dikesan di Depoh Imigresen Semenyih 2 di Selangor melibatkan tiga kes positif termasuk dua pegawai imigresen.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes indeks kluster itu adalah seorang pendatang asing tanpa izin yang menunggu giliran dihantar ke negara asalnya.
“Kes indeks kluster ini merupakan seorang tahanan yang bakal dihantar balik ke negara asal beliau. Justeru, beliau telah disaring untuk Covid-19 di klinik kesihatan dan dikesan positif pada 27 Ogos 2020 (iaitu kes ke-9302),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, dua pegawai imigresen yang menemani lelaki itu menjalani saringan juga didapati positif Covid-19.
“Mereka adalah dua (2) daripada empat (4) orang pegawai imigresen yang mengiringi kes indeks yang telah dikesan positif Covid-19. Susulan itu, pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat telah dijalankan,” katanya.
Tambahnya lagi, 265 orang telah disaring di Selangor setakat ini, dua kes dikesan positif iaitu pegawai imigresen itu, 123 negatif dan 140 masih menunggu hasil ujian.
Pada masa sama, empat orang disaring di Negeri Sembilan, dengan seorang (kes indeks kluster) positif, tiga lagi masih menunggu hasil ujian.
Pihak berkuasa masih menyiasat sumber jangkitan kes kluster.
Manakala, satu lagi kes baharu Kluster Telaga yang meledak di Kedah dan Pulau Pinang dikesan hari ini, menjadikan jumlah kes kluster itu kepada lapan kes.
“Sehingga 4 September 2020 jam 12 tengah hari, seramai 2,743 orang telah disaring dalam kluster ini,” katanya.
Di Kedah, 2,737 orang disaring dan lapan sah positif, 2,075 negatif dan 654 masih menunggu hasil ujian.
Manakala, di Pulau Pinang enam orang disaring dan kesemua mereka negatif, kata Dr Noor Hisham lagi. – 4 September, 2020.
Komen