Khairy gesa hukuman berat pencemar sungai


Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata hukuman berat perlu dikenakan ke atas mereka yang mencemarkan sungai kerana ia menjejaskan kehidupan berjuta rakyat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 4 September, 2020.

MEREKA yang mencemarkan Sungai Selangor sehingga menyebabkan gangguan bekalan air di Lembah Klang akibat penutupan empat Loji Rawatan Air (LRA) mesti dikenakan hukuman berat, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri sains, teknologi dan inovasi itu berkata hukuman berat perlu untuk memastikan perkara sama tidak berulang.

“Hukuman ke atas mereka yang mencemarkan sungai tidak cukup berat. 

“Saya rasa kementerian berkaitan perlu berbincang untuk mengenakan hukuman lebih berat kepada mereka yang mencemarkan sumber air kerana ini menjejaskan berjuta rakyat.

“Bayangkan bagaimana teruk kesannya hanya disebabkan oleh sebuah kilang,” kata Khairy kepada pemberita pada sidang media hari ini.

Ahli Parlimen Rembau itu menambah Jabatan Kimia akan menyerahkan keputusan analisis sampel air mentah yang tercemar kepada Jabatan Alam Sekitar dalam masa terdekat.

Selain itu, kementeriannya juga akan mengkaji teknologi yang berupaya memberi amaran pencemaran sungai.

“Bagi saya teknologi sedia ada tidak mencukupi. Kejadian seperti ini perlu dikesan lebih awal.

“Saya berharap kita kana dapat lihat teknologi memainkan peranan dalam memantau pencemaran sungai dengan lebih berkesan,” katanya.

Hukuman sedia ada ke atas mereka yang mencemarkan sungai tidak cukup berat, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 4 September, 2020.

Awal hari ini, Menteri Besar Selangor Amiruddin Shaari berkata pihak berkuasa telah menyita dan mengenakan kompaun ke atas kilang yang mencemar Sungai Selangor dan menyebabkan gangguan bekalan air di tujuh wilayah di sekitar Lembah Klang.

Amirudin berkata kerja pembersihan sungai sedang giat dijalankan, membabitkan penggunaan serbuk arang (activated carbon) untuk mengurangkan kesan bau pencemaran, pengepaman air dari kolam Bestari Jaya sebanyak 400  juta liter sehari (JLH) dan pelepasan air Empangan Sg Tinggi bagi proses pencairan air sungai.

Terdahulu Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata LRA Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang yang dihenti tugas sejak pagi semalam akibat pencemaran sumber air mentah masih belum beroperasi setakat 6.30 pagi tadi.

Sebanyak 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula jam 10 pagi semalam.

Tujuh wilayah berkenaan ialah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Sementara itu, Pengurusan Air Selangor berkata hampir  1.2 juta pengguna di Lembah Klang akan mengalami gangguan bekalan air sekurang-kurangnya empat hari disebabkan pencemaran yang memaksa penutupan empat LRA di Selangor.

“Tahap pencemaran air sekarang berada pada tahap 1 TON, yang mana masih tidak selamat,” kata CEO Air Selangor Suhaimi Kamaralzaman pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini. – 4 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen